Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Peruntukan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi Tahun Kewangan 2023/2024 berjumlah keseluruhannya $163,366,455 telah diluluskan sebulat suara pada hari ke-16 permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.
Menerangkan mengenai peruntukan berkenaan, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menjelaskan bahawa 68 peratus peruntukan berkenaan terdiri daripada perbelanjaan biasa dan selebihnya iaitu sebanyak 32 peratus terdiri daripada perbelanjaan kemajuan bagi Tahun Kewangan 2023/2024.
Beliau mengongsi, dengan tempoh Rancangan Kemajuan Negara ke-11 (RKN-11) dilanjutkan selama setahun lagi, ia setentunya akan memberi peluang kepada kementeriannya untuk menumpukan perhatian kepada penyelesaian projek-projek tergendala serta dapat menilai semula dan memuktamadkan lagi pemikiran dalam penyelesaian rancangan kemajuan selanjutnya.
Terdahulu dalam pembentangannya, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyatakan dengan berlandaskan tema belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2023/2024 iaitu ‘Bersatu Membina Masa Depan yang Lebih Makmur’ serta mengambil kira peranan asas dan tanggungjawab kementerian, dengan peruntukan yang disediakan itu, rancangan kerja serta peluang-peluang penambahbaikan yang dikenal pasti akan dapat meningkatkan dan memantapkan lagi sumbangan sektor pengangkutan serta sektor infokomunikasi dalam pembangunan negara.
Peluang-peluang penambahbaikan itu mengambil kira rintihan-rintihan orang ramai terhadap kualiti perkhidmatan yang disediakan, pembelajaran daripada kes-kes insiden kemalangan jalan raya atau pencerobohan siber yang telah berlaku dan
penyelenggaraan aset-aset yang kurang memuaskan.
“Semua ini dihasratkan untuk ditangani secara sistematik dengan mengikut keutamaan,” tambah beliau.
