Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    25 kenderaan terbiar dialihkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Sebanyak 25 buah kenderaan didapati terbiar di kawasan-kawasan letak kereta awam dan di bahagian jalan raya tanpa kebenaran yang sah iaitu di kawasan letak kereta Kampung Tamoi, letak kereta komersial Kampung Menglait, Mukim Gadong, letak kereta Kampung Kiarong dan letak kereta awam, bawah Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS).

    Tujuh daripada kenderaan berkenaan telah dialihkan ke tapak pelupusan melalui Jawatankuasa Projek Pembersihan Kenderaan Terbengkalai Seluruh Negara, manakala 18 buah kenderaan lagi telah dialih sendiri oleh pihak yang bertanggungjawab ke atas kenderaan-kenderaan berkenaan.

    Tindakan dan dapatan itu merupakan hasil daripada Operasi Bersepadu Bersih iaitu Operasi Bersepadu Bersih 5/2023, yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBBSB, di sini, operasi bersepadu itu diadakan pada 15 Mac lalu dengan matlamat memastikan pematuhan Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, Penggal 30, Pindaan 2021.

    JBBSB mengingatkan bahawa di bawah Bab 12(1) (f) Penggal 30 Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021, mana-mana kenderaan terbiar di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga $1,000 bagi mana-mana individu dan $2,000 bagi mana-mana badan atau pun syarikat bagi sebuah kenderaan.

    Sehubungan itu, jabatan berkenaan mengingatkan mana-mana individu, orang awam atau badan syarikat terutama sekali bengkel-bengkel membaik pulih kenderaan untuk sentiasa mematuhi akan peraturan-peraturan dan undang-undang yang ada di negara serta sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar dan demi kemaslahatan orang ramai dan jika didapati melakukan kesalahan, JBBSB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.

    Manakala, sebuah syarikat telah dikenakan kompaun berjumlah $200 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021 Penggal 30 kerana membuang sampah di tempat awam dan laluan awam.

    Dalam kes berkenaan syarikat tersebut dikehendaki menjelaskan kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Bangunan JBBSB, Jalan Perdana Menteri dalam tempoh tujuh hari.

    Antara kenderaan yang telah dialihkan. – Gambar serahan JBBSB
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...