Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    5 pelajar terima anugerah BruCERT

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Lima orang pelajar dalam bidang Program Pengkomputeran Kreatif, Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menerima anugerah daripada Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT) bagi menerbitkan video-video yang mempromosikan kesedaran keselamatan atas talian, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan BruCERT, di sini, hari ini, menyatakan bahawa kerjasama di antara UTB dan BruCERT terus berjalan beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pelajar-pelajar menerbitkan video-video kesedaran sebagai salah satu daripada tugasan semasa kursus pengajian mereka. Kenyataan menyatakan bahawa daripada jumlah sebanyak 10 video yang dihantar, lima video telah dipilih oleh BruCERT berdasarkan kepada kreativiti, kualiti dan kejelasan mesej kesedaran sekuriti siber.

    Video yang memenangi tempat pertama iaitu How to Spot a Fake Website, dihasilkan oleh Awangku Mohd A’sri Yazzie Putra bin Pengiran Yahya di mana ia menggambarkan sebuah laman sesawang membeli-belah atas talian dengan tawaran-tawaran yang luar biasa serta mengetengahkan petanda-petanda yang menunjukkan sebuah laman sesawang penipuan.
    Tempat kedua pula, The Importance of Updating Your Phone, yang dihasilkan oleh Awangku Mohd Akmal Muazzam bin Pengiran Mohd Nor-Islam yang menggambarkan bahawa kemas kini kerap melindungi peranti mudah alih daripada ancaman terkini.

    Sementara itu, di tempat ketiga ialah How Can Your Device Get a Virus, oleh Lenita Helina Faumina yang menunjukkan betapa mudahnya untuk dijangkiti oleh virus komputer dengan mengklik pautan, membuka lampiran, memasukkan sebuah pendrive yang dijangkiti serta memasang aplikasi daripada sumber-sumber yang tidak diketahui.

    Manakala, dua orang pelajar telah menerima hadiah sagu hati bagi video, Things to Do Before Selling Your Phone, oleh Awang Mohd Iqbal Syafiq bin Mustapha dan Be Aware of What You Share oleh Dayang Nadziratul Nadzirah binti Ibrahim. Para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai dengan video-video mereka akan disiarkan di saluran televisyen negara dan di akaun media sosial BruCERT pada lewat tahun ini sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran awam seluruh negara.

    Kenyataan menjelaskan bahawa aktiviti tahunan itu bertujuan untuk menjana kesedaran keselamatan atas talian di kalangan belia serta pada masa yang sama, memupuk kemahiran dan kreativiti para pelajar serta memberikan peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat masing-masing.

    Para pelajar yang telah memenangi anugerah daripada BruCERT bagi menerbitkan video-video yang mempromosikan kesedaran keselamatan atas talian. – Gambar serahan BruCERT
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...