Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    51 negara kukuhkan pasaran eksport makanan

    BRUSSELS, 8 MEI – Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan puluhan negara lain berikrar untuk mengukuhkan keselamatan makanan global dalam satu kenyataan bersama kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

    Ikrar itu dibuat susulan amaran mengenai kesan global terhadap keselamatan makanan antarabangsa akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

    Menurut kumpulan berkenaan, mereka akan menumpukan untuk melaksanakan langkah terbaik bagi mengekalkan pasaran dan perdagangan pertanian yang terbuka serta boleh diramal.

    Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini memberi amaran bahawa perang dan sekatan ekonomi ke atas Moscow mengganggu bekalan makanan global, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku krisis kebuluran serius lagi meluas.

    Ketua Program Makanan Sedunia (WFP), David Beasley, sudah berulang kali memberi amaran bahawa peperangan di Ukraine boleh membawa krisis kebuluran global ke tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

    Seorang petani menuai gandum dengan jentera di sebuah ladang berhampiran kampung Jaliha di wilayah Diwaniya pada 26 April 2022. – AFP

    Rusia dan Ukraine adalah penyumbang terbesar bijirin untuk bekalan global termasuk roti, gandum, minyak sayuran dan jagung selain menjadi pembekal baja utama. Kedua-dua negara itu menyumbang 30 peratus daripada perdagangan gandum global.

    Perang menyebabkan harga komoditi melonjak dengan harga minyak bunga matahari dan minyak biji sawi meningkat 40 peratus di Eropah dalam tempoh dua bulan.

    Pergolakan pasaran dunia semakin meruncing apabila sesetengah negara mempertimbangkan untuk mengurangkan eksport dalam memastikan bekalan domestik mencukupi.

    Negara yang terbabit berjanji untuk bekerjasama memastikan makanan yang mencukupi, selamat, berpatutan dan berkhasiat tersedia untuk semua orang pada setiap masa.

    Mereka juga berikrar bagi memastikan pasaran makanan dan pertanian antarabangsa negara masing-masing kekal ‘terbuka’. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...