58 lagi kes varian Omicron dikesan di M’sia

KUALA LUMPUR, 4 JAN – Sebanyak 58 kes positif COVID-19 disahkan varian Omicron dengan 54 kes jangkitan import manakala empat kes penularan tempatan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata hasil jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), empat kes penularan tempatan dilaporkan di Kedah yang dipercayai mendapat jangkitan daripada seorang jemaah umrah yang positif COVID-19 varian Omicron.

“Keempat-empat kes merupakan kontak rapat kepada kes COVID-19 varian Omicron yang balik dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember kemudian disahkan positif pada 24 Disember lepas.

“Pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember lalu dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori dua pada 17 Disember lepas. Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai kes jangkitan import, Khairy berkata 39 daripada 54 kes berkenaan dari Arab Saudi; Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan tujuh kes; United Kingdom (empat); Nigeria (dua); dan masing-masing satu kes dari Kazakhstan dan Perancis.

Khairy berkata dengan angka terbaharu itu, jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dikesan varian Omicron di negara ini adalah 122 kes iaitu 117 kes adalah jangkitan import manakala selebihnya merupakan penularan tempatan.

“Daripada keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 71 kes merupakan jemaah umrah,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 1,220 sampel daripada 1,774 kes COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di negara ini bagi tempoh 1 hingga 31 Disember lepas, menunjukkan berkemungkinan varian Omicron melalui hasil ujian PCR Genotyping Assay oleh IMR.

“Daripada 1,220 kemungkinan varian Omicron ini, 928 melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman supaya terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain. – Bernama