Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    660 pelajar mulakan pengajian di Maktab Duli

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Seramai 660 orang pelajar pra-universiti memulakan pengajian mereka di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) bagi tahun akademik 2022/2023.

    Kemasukan para pelajar dialu-alukan dengan program orientasi berlangsung selama tiga hari sehingga 3 Mac yang antaranya bermatlamat untuk membantu mereka dengan peralihan suasana pembelajaran di Maktab Duli sebagai satu lembaran baharu bagi mereka setelah berjaya menamatkan pendidikan peringkat menengah bertahun-tahun.

    Pada hari pertama, program orientasi dilaksanakan secara maya sepenuhnya di mana bahagian pentadbiran maktab telah menekankan prosedur operasi standard (SOP) ketika menyampaikan taklimat dalam talian bersama para pelajar di tiga lokasi berasingan di maktab tersebut.

    Dalam pada itu, pelajar-pelajar baharu itu dibahagikan kepada tiga kumpulan dan tiga pautan dalam talian telah dikongsikan kepada mereka. Pautan pertama adalah untuk pelajar-pelajar dari BE 01 hingga BE 07, diikuti dengan pautan kedua khusus bagi kumpulan pelajar dari BE 08 hingga BE 14, manakala mereka dari BE 15 hingga BE 20 pula menyertai pautan ketiga.

    Pautan-pautan berkenaan dikongsikan sebelum sesi minggu orientasi bermula bagi membolehkan kumpulan tenaga pengajar yang ditugaskan untuk menyemak kehadiran para pelajar baharu dan juga membolehkan mereka mendengar taklimat yang dijadualkan.

    Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan tahniah atas kegigihan dan kejayaan para pelajar memasuki fasa pra-universiti di samping sokongan teguh daripada kalangan ibu bapa atau penjaga yang secara tidak langsung pencetus prestasi kejayaan dalam hal ehwal akademik anak-anak selama ini.

    Selain itu, sedutan video korporat Maktab Duli turut ditayangkan dengan dimuatkan penerangan mengenai latar belakang dan struktur pentadbiran maktab serta maklumat berkisar ketua-ketua bahagian, unit dan jabatan maktab tersebut.

    Kemudian, tempoh dua hari berikutnya pada sebelah petang program orientasi ditetapkan bagi penyampaian taklimat terperinci daripada pihak bahagian dan unit dalam struktur pentadbiran maktab yang juga dalam platform maya. Sementara sesi pengajaran dan pembelajaran pula dilaksanakan pada sebelah pagi.

    Pembukaan program orientasi bagi pelajar-pelajar baharu pra-universiti di Maktab Duli bagi tahun akademik 2022/2023 dilaksanakan secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan Maktab Duli
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...