SEPANG, 1 SEPT – Beregu lelaki utama negara Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yik mula memasang impian untuk meraih ranking nombor satu dunia dan gelaran sulung Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Selepas berjaya menamatkan badi sering tewas di peringkat separuh akhir dengan merangkul gelaran bersejarah Kejohanan Dunia pada Ahad lepas, dua misi tersebut menjadi motivasi kepada beregu nombor lima dunia itu untuk bekerja lebih keras.
Aaron, 25, mengakui status juara dunia itu meningkatkan lagi cabaran buat mereka untuk melihat dengan lebih serius setiap kejohanan disertai disebabkan dengan gelaran tersebut mereka bakal menjadi ‘buruan’ lawan.
“Sebenarnya kami sasarkan untuk gelaran Jelajah Dunia dulu, baru gelaran Kejohanan Dunia.
“Jadi, kami masih kena berjuang untuk gelaran Jelajah Dunia pertama kami.
“Kejayaan ini buat kami lebih bermotivasi dan yakin untuk kejohanan seterusnya selepas sebelum ini menerima banyak kritikan kerana kerap tewas di separuh akhir.
“Ia juga beri semangat juang kerana kami pun berharap satu hari nanti kami jadi nombor satu dunia.
“Bagaimanapun, pada masa yang sama, kami juga perlu berkerja keras,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini setibanya ke tanah air daripada kejayaan memenangi gelaran dunia itu. – Bernama
