Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Ahli pengakap baharu UNISSA sertai perkhemahan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Dengan hasrat untuk mendalami ilmu kepimpinan dan kemahiran berpengakap secara berterusan, Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Perkhemahan Asas Sehari ke-4 untuk ahli-ahli pengakap pengambilan baharu bagi Ogos 2022, baru-baru ini.

    Seramai 30 orang ahli mengikuti latihan asas berkenaan yang diadakan di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Kompleks Pengakap, Jalan Gadong.

    Perkhemahan diadakan bagi memberikan lebih kefahaman dan pendedahan serta pengetahuan asas tentang cara-cara mengendalikan perkhemahan di samping meningkatkan jati diri kepada ahli-ahlinya.

    Sebelum mengikuti perkhemahan berkenaan, ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA di bawah pengawasan pensyarah, Dr Muhammad Alif bin Haji Sismat selaku pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA telah menjalani sesi latihan kepimpinan dan kemahiran mingguan yang telah dijalankan selama enam minggu bagi mendapatkan Lencana Keahlian Pengakap Sedunia.

    Di sepanjang latihan praktikal perkhemahan asas sehari itu, ahli-ahli Pengakap Kelana telah diberi pengetahuan tentang pentingnya kerjasama dalam satu pasukan serta diajar secara praktikal cara mendirikan khemah, membuat kraf pengakap, membaca peta dan kompas, ikhtiar hidup bagi menghidupkan api dengan menggunakan kayu dan memanggang roti lilit serta memasak nasi di dalam kotak minuman dan memanggang telur dengan menggunakan lumpur.

    Selain itu, mereka juga ditunjukkan dengan cara penggunaan dan penjagaan peralatan tajam, ikatan, membina model projek perintis berbentuk menara piramid berketinggian 18 kaki, memasak bagi makan tengah hari secara berkumpulan dan membuat kerja-kerja kemasyarakatan bagi membersihkan persekitaran kawasan pusat latihan dan kegiatan pengakap kebangsaan.

    Turut hadir semasa latihan berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; Dr Muhammad Alif; Pesuruhjaya Perhubungan dan Penerbitan, Awang Mohammad Syahmi bin Halimshah; Pemangku Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Kelana, Awang Mohammad Najib bin Abdul Hamid dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Awang Samsuddin bin Haji Ahmad.

    Hadir bagi mengetuai latihan kepimpinan dan kemahiran ialah Jurulatih Pengakap Kelana UNISSA, Awang Zainudin bin Haji Ishak dan Haji Junaidi bin Haji Hussin; Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Jurkarnain bin Hussin; Pemimpin Pengakap, Awang Rakob bin Nasir serta Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Bahagian Latihan dan Bahagian Pengakap Tunas, Ritchie bin Siabu.

    Awang Zainudin menunjukkan cara memanggang telur menggunakan lumpur kepada peserta perkhemahan. – Gambar serahan Pengakap Kelana UNISSA
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...