Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Argentina lebar rekod tanpa kalah

    BUENOS AIRES, 27 MAC – Lionel Messi meledakkan gol sekembalinya bersama pasukan kebangsaan ketika Argentina melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 30 perlawanan dengan kemenangan 3-0 ke atas Venezuela dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022.

    Gol dari Nicolas Gonzalez dan Angel Di Maria kedua-duanya dicetuskan oleh Rodrigo De Paul di stadium yang tetap dipenuhi penyokong tuan rumah biarpun perlawanan itu tidak memberi kesan kepada kelayakan Piala Dunia.

    Argentina sudah lama layak ke Piala Dunia di Qatar akhir tahun ini manakala Venezuela adalah pasukan pertama dalam kumpulan kelayakan Amerika Selatan yang tersingkir daripada kumpulan dibarisi 10 negara itu.

    Kemenangan itu mengekalkan Argentina hanya empat mata di belakang pendahulu kumpulan, Brazil dengan baki dua perlawanan lagi.

    Venezuela mengesahkan tempat tercorot selepas kekalahan ke-13 dalam 17 perlawanan kelayakan setakat ini. Kesemua empat slot sudah disahkan dengan Uruguay dan Ecuador turut mengesahkan tempat ke Qatar Khamis lalu.

    Hanya tempat kelima masih menjadi rebutan antara tiga pasukan dengan Peru mendahului satu mata di depan Colombia dan dua di depan Chile.

    Messi kembali menyarung jersi Argentina selepas direhatkan dalam dua aksi kelayakan sebelum ini. Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu mempunyai tiga percubaan menerusi sepakan percuma tetapi gagal menewaskan penjaga gol Wuilker Farinez. – AFP

    Aksi Lionel Messi (tengah), Angel Di Maria (kanan) dan Leandro Paredes merai kemenangan selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia di antara Argentina dan Venezuela di stadium La Bombonera di Buenos Aires pada 25 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...