Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    ASEAN-Australia komited kukuhkan kerjasama strategik komprehensif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – ASEAN dan Australia mengesahkan komitmen masing-masing untuk mengukuhkan lagi kerjasama strategik komprehensif mereka semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Bersama ASEAN-Australia ke-13 yang berlangsung di Sekretariat ASEAN pada 3 Mac lalu.

    Semasa mesyuarat berkenaan, Australia menyampaikan sokongan berterusannya kepada usaha pembangunan komuniti ASEAN, bantuan ke arah usaha pemulihan daripada pandemik COVID-19 dan komitmen kepada centrality ASEAN melalui penyertaan aktifnya dalam mekanisme diterajui ASEAN.

    Mesyuarat itu telah dipengerusikan bersama oleh Wakil Tetap Republik Demokratik Rakyat Laos ke ASEAN, Tuan Yang Terutama Bovonethat Douangcak dan Duta Australia ke ASEAN, Tuan Yang Terutama Will Nankervis.

    Turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah wakil tetap negara-negara anggota ASEAN ke ASEAN, Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Politik-Sekuriti ASEAN serta wakil dari Timor-Leste sebagai pemerhati.

    Semasa mesyuarat itu, Australia mengumumkan bahawa ia mengembangkan lagi program kerjasamanya bagi ASEAN melalui Inisiatif Australia for ASEAN Futures yang meliputi ketiga-tiga Tonggak Komuniti ASEAN dan menerokai kolaborasi bagi isu-isu merentas tonggak.

    Wakil tetap negara-negara anggota ASEAN ke ASEAN dan Duta Australia ke ASEAN bergambar ramai semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Bersama ASEAN-Australia Ke-13 yang berlangsung di Sekretariat ASEAN pada 3 Mac lalu. – Gambar serahan Sekretariat ASEAN

    Pada masa yang sama, kedua-dua belah pihak turut menekankan pentingnya bagi membangunkan program dan aktiviti yang dapat disesuaikan kepada cabaran-cabaran masa kini, keperluan bagi rantau ini serta selaras dengan bidang-bidang keutamaan termasuk Visi ASEAN pasca-2025.

    Berikutan dengan tambahan kepada Program Kerjasama Pembangunan ASEAN-Australia Fasa II (AADCP II) sehingga 2025, kedua-dua belah pihak bersetuju bagi pelaksanaan program penggantinya, Australia for ASEAN Futures-Economic & Connectivity (Aus4 ASEAN-ECON), secara efektif. Kedua-dua AADCP II dan Aus4ASEAN (ECON) akan dilaksanakan di bawah inisiatif Aus4 ASEAN Futures.

    Mesyuarat itu juga mengkaji pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-Australia (2020-2024) dan menyatakan perasaan gembira dengan kesemua garis tindakan dalam Pelan Tindakan telah atau sedang ditangani.

    Dalam membincangkan kerjasama masa hadapan, ASEAN dan Australia menekankan pentingnya untuk meningkatkan kerjasama dalam empat bidang utama yang digariskan dalam ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP).

    Ini termasuk tindakan konkrit untuk menyokong pelaksanaannya serta dalam bidang-bidang lain seperti menentang keganasan, ekstremisme ganas dan menentang pemerdagangan manusia, kerjasama maritim, agenda Sekuriti, Keamanan dan Wanita, hak manusia dan perlindungan pekerja migran, ekonomi digital, pelaburan dan perdagangan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana, menangani perubahan iklim, kesihatan mental dan kesihatan awam, pendidikan, latihan dan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET),
    pembangunan mampan, sekuriti makanan, pengangkutan, sekuriti siber dan bandar raya pintar.

    Kedua-dua belah pihak juga tertunggu-tunggu bagi penandatanganan Protokol Kedua kepada Pindaan Perjanjian Menubuhkan Kawasan Bebas Perdagangan ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA). Di samping itu, ASEAN dan Australia juga menyeru bagi pelaksanaan efektif perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau.

    Mesyuarat itu juga mengambil maklum akan Ulang Tahun Hubungan Dialog ASEAN-Australia ke-50 pada 2024 dan sedang menanti pelaksanaan bakal aktiviti-aktiviti bagi memperingatinya dengan kedua-dua belah pihak menekankan pentingnya untuk mempromosikan kesedaran ASEAN di Australia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...