Sunday, May 19, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Zelensky disenarai penjenayah dikehendaki

    MOSCOW, 5 MEI – Rusia telah menambah Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, ke dalam senarai penjenayah yang dikehendakinya, satu tindakan yang ditolak Kyiv sebagai tanda ‘terdesak’ Moscow.

    Nama Zelensky muncul kelmarin dalam senarai ‘dikehendaki’ Kementerian Dalam Negeri Rusia, pangkalan data dalam talian penjenayah yang didakwa dicari oleh pihak berkuasa Rusia.

    Ia berkata pemimpin Ukraine itu dikehendaki ‘di bawah artikel kanun jenayah,’ tanpa memberikan butiran lanjut.

    Tiada komen segera daripada pegawai Rusia mengenai sebab-sebab Zelensky telah ditambah ke dalam senarai tersebut.

    Kementerian Luar Ukraine berkata keputusan itu menunjukkan ‘keadaan terdesak jentera kerajaan dan propaganda negara Rusia, bingung tentang apa yang perlu direka untuk menarik perhatian.’

    Moscow telah menyasarkan Zelensky sejak permulaan serangan tentera Rusia di Ukraine pada Februari 2022.

    Presiden Ukraine itu berkata tahun lalu dia menyedari sekurang-kurangnya ‘lima atau enam’ cubaan membunuh terhadapnya yang berjaya digagalkan.

    Sehari selepas menghantar tentera ke Ukraine, Presiden Rusia, Vladimir Putin menyampaikan ucapan kepada negara di mana beliau menggesa tentera Ukraine untuk menggulingkan Zelensky. – AFP

    Zelensky semasa menghadiri sidang akhbar di Kyiv pada 29 April. Beliau telah dimasukkan dalam senarai penjenayah dikehendaki oleh Rusia. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...