Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    ASEAN harus hasilkan kandungan bersama, kuasai pasaran lebih luas

    BANGKOK, 21 JUN – Negara-negara ASEAN harus menghasilkan kandungan filem dan drama secara bersama dalam usaha menguasai pasaran industri kreatif, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.

    ASEAN memiliki populasi melebihi 600 juta, dan ia adalah pasaran yang besar berbanding pasaran individu 10 anggotanya.

    “Kita tidak seharusnya membataskan keadaan dengan memaksa rakyat menikmati kandungan tempatan sahaja. ASEAN harus menghasilkan kandungan secara bersama, menerusi filem, drama atau kandungan untuk stesen radio dan TV yang akan difilemkan di rantau ini.

    “Saya telah bertemu rakan sejawatan bagi menyampaikan idea ini dan menjadikan ASEAN sebagai pasaran lebih besar. Setakat ini, kami menerima maklum balas positif,” katanya kepada Bernama.

    Sementara itu, Annuar berkata Malaysia sedang menyusun strategi untuk membida menjadi ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2023-2026.

    “Malaysia telah membida untuk menganggotai Majlis ITU. Bilangan negara yang menawarkan pencalonan mereka melebihi slot yang ada.

    Oleh itu, Malaysia perlu menyusun strategi dan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain. Kami berharap dapat menyokong satu sama lain dan mengukuhkan undian,” katanya.

    Sebanyak 18 negara telah membentangkan pencalonan mereka untuk merebut 12 slot di rantau E – Asia dan Australasia, menurut Majlis ITU menerusi laman sesawangnya.

    Malaysia sebelum ini pernah anggotai majlis itu dari 1998 hingga 2014. – Bernama

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa ketika sesi perbincangan bersama National Broadcasting Services of Thailand (NBT) sempena lawatan kerja beliau pada 20 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...