Thursday, May 9, 2024
24.9 C
Brunei

    -

    ASEAN iktiraf usaha MKM basmi kemiskinan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah menerima Anugerah Kepimpinan ASEAN bagi Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Luar Bandar ke-6 yang berlangsung di Republik Singapura, baru-baru ini.

    Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Menteri Sosial dan Pembangunan Keluarga Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli kepada Yang Di-Pertua MKM, Awang Mohd Yusof Shaik bin Abdul Halim pada majlis yang diadakan di MBS Convention Centre, Republik Singapura.

    Anugerah tersebut adalah sebagai pengiktirafan ASEAN kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah memberikan sumbangan kepada pembangunan komuniti luar bandar dalam pembasmian kemiskinan di rantau ini.

    Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad serta para pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Awang Mohd Yusof Shaik dalam ucaptama pada Forum Awam ASEAN ke-12 Mengenai Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Luar Bandar, antara lain menjelaskan mengenai pencapaian MKM sejak penubuhannya hingga masa kini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai bersama para penerima anugerah. – GAMBAR SERAHAN MKM
    TYT Masagos Zulkifli menyampaikan anugerah kepada Yang Di-Pertua MKM. – GAMBAR SERAHAN MKM

    “MKM mengungkayahkan Projek Skim Sarapan Pagi bagi para pelajar sekolah rendah pada 2014, yang mana pada masa ini mereka telah menduduki peperiksaan peringkat O dan A atau sedang menjalani pengajian siswazah,” jelasnya.

    Beliau menambah, para pelajar kalangan anak-anak klien MKM yang dibantu telah membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan, yang mana salah seorang daripada mereka telah diumumkan sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan peringkat A, dua tahun lalu.

    Selain itu, beliau mengongsikan, pencapaian terbaik MKM adalah untuk mengekalkan kepercayaan orang ramai dan para penderma, bukan hanya untuk membolehkannya bertahan dan terus menjalankan lebih banyak projek amal selama 14 tahun tetapi telah memberi inspirasi untuk melakukan yang lebih baik setiap tahun.

    MKM yang ditubuhkan sejak 2009 telah mengungkayahkan banyak aktiviti dan program dalam memeduli serta membantu golongan yang kurang berkemampuan di negara ini.

    Antaranya adalah skim fidyah iaitu memberikan sarapan pagi kepada para pelajar kalangan anak-anak klien MKM di beberapa buah sekolah di negara ini, selain itu MKM juga menaja beberapa orang pelajar yang kurang berkemampuan khususnya dalam pembayaran yuran sekolah dan peperiksaan.

    MKM juga secara berterusan mengagihkan makanan asasi bulanan kepada klien-klien yang memenuhi kriteria.

    Delegasi MKM yang hadir pada majlis itu ialah Naib Yang Di-Pertua 1 MKM, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...