Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Aubameyang mangsa rompakan bersenjata

    BARCELONA, 29 OGOS – Penyerang Barcelona, Pierre-Emerick Aubameyang adalah mangsa rompakan bersenjata pada awal pagi Isnin, kata kelab Sepanyol itu.

    “Dia dalam keadaan baik, takut tetapi masih dalam keadaan baik,” kata sumber Barcelona kepada AFP, yang mengesahkan laporan akhbar.

    Sekurang-kurangnya empat lelaki menceroboh masuk ke dalam rumahnya di Castelldefels berhampilan Barcelona. Perompak mengugut Aubameyang dan isterinya dengan pistol dan palang besi, lalu memukulnya, menurut laporan harian, El Pais.

    Pencuri itu melarikan diri dengan kereta selepas memaksa pemain antarabangsa Gabon itu membuka peti besi dan mencuri permata yang ada di dalamnya, lapor akhbar tersebut. Polis Catalan, Mossos d’Esquadra, mengesahkan mereka sedang menyiasat rompakan di Castelldefels tetapi enggan mengenal pasti mangsa.

    “Siasatan masih dijalankan dan kami sedang mengumpul maklumat,” katanya kepada AFP.

    Insiden itu berlaku ketika Aubameyang dikaitkan dengan penampilan kembali ke Liga Perdana selepas menarik perhatian Chelsea. Dia menyertai Barcelona pada Februari dari Arsenal selepas dilaporkan berselisih dengan pengurus Gunners, Mikel Arteta kerana pelanggaran disiplin.

    Beberapa pemain bola sepak berprofil tinggi di Sepanyol juga pernah dirompak walaupun kebanyakan daripadanya mengalami kes pecah rumah ketika pemain bintang beraksi dalam perlawanan.

    Pada Jun, polis telah menahan enam orang berhubung kes pecah rumah bernilai tiga juta euro di rumah milik bekas penyerang Brazil, Ronaldo.– AFP

    Gambar fail aksi Aubameyang (kanan). Pemain itu dan isterinya cemas apabila mereka dirompak awal pagi kelmarin.– AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...