BIRMINGHAM, UNITED KINGDOM, 21 MAC – Pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen memenangi kejuaraan badminton All England untuk kali kedua dengan menewaskan pemain India Lakshya Sen 21-10, 21-15 di Birmingham.
Pemain Belanda itu tidak puas hati dia mempunyai tujuh jam kurang untuk beraksi dalam final berbanding pencabarnya.
Namun Sen kelihatan keletihan daripada kemenangan separuh akhir maraton ke atas Lee Zii Jia ketika Axelsen meraih gelaran itu tanpa menggugurkan satu set.
“Saya berasa amat gembira,” kata Axelsen. “Apabila saya bermula bermain badminton, saya tidak pernah membayangkan akan memenangi dua kejuaraan All England dan saya masih mempunyai perjalanan yang jauh.”
Apabila Axelsen menjulang trofi All England terakhir dua tahun lalu, prospek sekatan koronavirus merampas peluangnya untuk meraih kejayaan di depan keluarganya.
Kali ini, pasangannya Natalia dan anak perempuan Vega hadir menyaksikan permainannya untuk menjadikan kemenangannya lebih manis.
“Di Terbuka Denmark, saya benar-benar rasa amat bermakna melihat Vega di astaka selepas kemenangan saya,” tambah Axelsen. “Hari ini ia merupakan sesuatu yang lebih istimewa.”
Juara dunia Akane Yamaguchi memenangi gelaran wanita dengan menyingkirkan pemain Korea Selatan An Se-young.
Bintang Jepun itu tergolong dalam kelasnya tersendiri berbanding pemain pilihan keempat ketika dia menang 21-15, 21-15 dalam masa 44 minit.
“Saya telah berada di sini banyak kali, tetapi saya masih belum mara ke final dan saya gagal memenangi kejuaraan,” kata Yamaguchi. “Saya berasa amat gembira saya memenangi kejohanan tradisional ini dengan penuh bergaya.” – AFP