Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bakal graduan PB khatam Al-Quran

    Oleh Ak Zaki Kasharam

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Politeknik Brunei (PB), kelmarin, telah mengadakan majlis khatam Al-Quran bersempena dengan Majlis Konvokesyen PB ke-7 bagi bakal graduan dan Doa Kesyukuran sempena 10 tahun penubuhan PB yang berlangsung secara hibrid di Musholla, PB, Jalan Ong Sum Ping.

    Majlis telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad selaku tetamu kehormat majlis.  

    Dengan mengambil kira situasi penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, majlis diadakan secara hibrid iaitu melalui pautan Zoom dan fizikal dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan keramaian yang terhad.  Sementara itu, ibu bapa dan penjaga bakal gra-duan pula dapat mengikuti majlis tersebut melalui YouTube Live Streaming.

    Seramai 579 orang bakal graduan menyertai majlis tersebut yang terdiri daripada
    255 pelajar lelaki dan 324 daripada pelajar perempuan.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan bacaan ayat-ayat khatam oleh para peserta khatam.  

    Kemudian, Doa Khatam dibacakan sebelum diteruskan dengan laungan Dikir Marhaban.  
    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Penutup dan Doa Kesyukuran sempena 10 Tahun Penubuhan PB.

    Majlis khatam antara lain bertujuan untuk memartabatkan Al-Quran sebagai dasar segala ilmu di samping mengambil sukut barakah Wahyu Allah.  

    Ia diungkayahkan oleh Unit Pendidikan Islam, Bahagian Pengajian Am, PB sebagai salah satu acara kemuncak Majlis Konvokesyen PB sepertimana lazimnya.

    Majlis Konvokesyen PB ke-7 akan diadakan dalam tiga sesi pada 10 (sesi pagi dan petang) dan 12 Mac (sesi pagi), bagi mematuhi syarat-syarat dan SOP yang berjalan pada masa ini, di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas di mana seramai 629 orang graduan akan menerima sijil Diploma Tahap 5 masing-masing

    Dr Haji Azman hadir selaku tetamu kehormat pada majlis khatam berkenaan yang diadakan secara hibrid.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...