Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Bencana iklim telan belanja 80b euro sejak 2018

    BERLIN, 18 JULAI – Kejadian cuaca ekstrem yang berpunca dari perubahan iklim telah menyebabkan Jerman mengalami kerugian sekitar 80 bilion euro sejak 2018, menurut kajian rasmi hari ini, ketika bencana alam semakin kerap berlaku dan membahayakan.

    Laporan yang dibuat oleh kementerian ekonomi dan alam sekitar menganggarkan kerugian daripada kesan kemarau, banjir dan gelombang haba di Jerman antara tahun 2000 hingga 2021 adalah hampir 145 bilion euro, kebanyakannya berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Sejak 2018 sahaja, kerosakan bangunan dan infrastruktur serta kehilangan sumber hasil dalam sektor seperti perhutanan dan perladangan dalam ekonomi tertinggi Eropah mencecah lebih 80 bilion euro. Menteri Alam Sekitar, Steffi Lemke berkata maklumat saintifik menunjukkan kerosakan dan kos yang besar berlaku semasa krisis iklim.

    “Angka tersebut menandakan amaran untuk membuat langkah pencegahan apabila berhubung dengan isu iklim,” kata beliau dalam satu kenyataan.

    “Kita perlu melabur lebih banyak dalam perlindungan iklim dan penyesuaian untuk melindungi rakyat kita,” katanya lagi.

    Menteri Ekonomi, Robert Habeck semasa memberi taklimat termasuk bab polisi iklim, berkata langkah-langkah yang dibuat oleh negara perlu seiring dengan tindakan global untuk mengawal kesan krisis iklim pada tahap yang dapat ditahan.

    Selain itu, kajian menunjukkan kesan yang semakin teruk dari semasa ke semasa, dengan keadaan cuaca panas yang luar biasa, musim kemarau pada 2018 dan 2019 serta banjir berbahaya yang melanda Rhineland pada setahun yang lalu itu, direkodkan sebagai bencana alam yang amat dahsyat. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...