Wednesday, May 22, 2024
30.1 C
Brunei

    -

    Berkenan hadiri kunjungan muhibah bersama Hun Sen

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berangkat menghadiri Majlis Santap Pagi yang dihoskan oleh Presiden Senat Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Techo Hun Sen di Hotel Rosewood Phnom Penh.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berada di Phnom Penh bagi menghadiri kunjungan muhibah bersama Tuan Yang Terutama, yang antara lainnya mencerminkan keakraban hubungan mesra antara kedua-dua pemimpin Negara Brunei Darussalam dan Kemboja yang sudah sekian lama terjalin, di mana hubungan akrab itu akan terus dijadikan sebagai pemangkin dalam mencapai kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

    Juga hadir pada Majlis Santap Pagi berkenaan ialah Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perkhidmatan Awam Kemboja, Tuan Yang Terutama Hun Many dan Ketua Jabatan Am Penyelidikan dan Perisikan, Kementerian Pertahanan Nasional, Leftenan Jeneral Hun Manith.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Baginda Sultan kemudian berangkat bertolak meninggalkan Phnom Penh, Kemboja setelah selesai mengadakan kunjungan muhibah berkenaan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin berada di Phnom Penh bagi menghadiri kunjungan muhibah bersama Presiden Senat Kemboja, TYT Samdech Techo Hun Sen. Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama TYT Samdech Techo Hun Sen dan TYT Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet pada Majlis Santap Pagi. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Pagi yang dihoskan oleh TYT Samdech Techo Hun Sen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan melambaikan tangan sebelum memasuki pesawat untuk meninggalkan Phnom Penh. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah semasa keberangkatan di Phom Penh. Berangkat mengiringi Baginda ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Terdahulu sebelum itu, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Sebelum berangkat balik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Baginda Sultan disembahkan ucapan selamat berangkat daripada TYT Samdech Techo Hun Sen, TYT Hun Many dan Leftenan Jeneral Hun Manith.

    Juga hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kemboja, Tuan Yang Terutama Pengiran Kasmirhan bin Pengiran Haji Tahir.

    Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berangkat tiba di Phnom Penh, kelmarin, selepas berkenan mengadakan keberangkatan rasmi ke Thailand.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh dialu-alukan oleh TYT Samdech Techo Hun Sen dan TYT Hun Many.

    Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Baginda ialah TYT Pengiran Kasmirhan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pilihan raya Iran ditetapkan pada 28 Jun

    TEHRAN, 21 MEI - Selepas meneliti masa proses pilihan raya, ketua-ketua cabang kuasa Iran telah memutuskan 28 Jun sebagai tarikh untuk memilih presiden baharu,...