Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    BIBD tubuh Platun Korporat pertama di Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mencatatkan mercu tanda yang amat membanggakan dengan penubuhan Platun Korporat Bulan Sabit Merah BIBD yang merupakan platun korporat pertama di Negara Brunei Darussalam.

    Platun korporat berkenaan bertindak sebagai sebuah kumpulan sokongan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam dan akan terlibat dalam menawarkan bantuan kemanusiaan serta aktiviti kesukarelawanan kepada negara.

    Ia juga akan bertindak sebagai sebuah ejen bantuan atau sokongan kepada PBSM dalam melaksanakan misi atau tugasan asas pertolongan cemas dan menyelamat nyawa.

    BIBD juga merupakan entiti korporat pertama di Brunei yang menubuhkan sebuah kumpulan seumpama itu dan inisiatif berkenaan merupakan sebagai tindakan susulan kepada sebuah Intelligent Partnership Agreement (IPA) yang dimeterai dengan PBSM pada Jun lalu.

    Sehubungan itu, majlis yang menandakan penubuhan Platun Korporat BIBD berlangsung di Bangunan PGGMB, di sini, hari ini, dan dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Kumpulan BIBD.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyempurnakan penyampaian tauliah pangkat kepada ahli platun.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew (kanan) menerima Sijil Tubuh Platun Korporat BIBD yang disampaikan oleh Sheikh Haji Abdul Kadir Abdullah (kiri).

    Turut hadir ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri; Setiausaha Agung PBSM Brunei Darussalam, Sheikh Haji Abdul Kadir Abdullah bin Sheikh Haji Omar, pegawai-pegawai pengurusan dan kanan BIBD dan PBSM serta ahli-ahli Platun Korporat BIBD.

    Platun itu merangkumi seramai 30 orang ahli bertauliah dan pembantu pertolongan kecemasan bertauliah yang terdiri daripada kakitangan bank daripada semua peringkat dengan matlamat untuk menyertai secara profesional dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan kemanusiaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    Ahli-ahli telah menyertai dan berjaya menamatkan latihan intensif yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) iaitu Occupational First Aid Certification Training (OFAC) dan Program Latihan Kesihatan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyempurnakan penubuhan Platun Korporat BIBD dan menerima Sijil Tubuh Platun Korporat BIBD yang disampaikan oleh Sheikh Haji Abdul Kadir Abdullah.

    Yang Berhormat Dato kemudian menyerahkan sijil penubuhan berkenaan kepada
    Awang Junaidi sebelum menyampaikan Sijil Keahlian Platun Korporat BIBD, Sijil Kecekapan dan Lencana Perkhidmatan Pertolongan Cemas serta Sijil Tauliah BIBD Wellness Ambassador kepada ahli-ahli.

    Kemudian, Yang Berhormat Dato juga menyampaikan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Cemerlang Bulan Sabit Merah kepada seorang kakitangan BIBD, Awang Mohammad Sabri bin Sardi yang juga ahli Pertolongan Cemas PBSM.

    Awang Mohammad Sabri menerima pengiktirafan berkenaan berikutan insiden berani di mana beliau sebagai responder pertama di lokasi kemalangan kereta sendiri telah memberikan bantuan secara efektif kepada mangsa yang cedera sehingga ketibaan polis dan ambulans.

    Terdahulu sebelum majlis perasmian, Yang Berhormat Dato telah menghadiri Majlis Perbarisan Kehormatan dan Kawad Statik Pasukan Platun Korporat BIBD di mana beliau turut memeriksa barisan kawalan kehormatan pasukan platun berkenaan.

    Pada majlis itu juga, Yang Berhormat Dato telah menyempurnakan penyampaian tauliah pangkat kepada tiga orang ahli pasukan platun itu.

    Majlis turut menyaksikan upacara membaca ikrar platun.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...