Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Biden lanjutkan tarif panel solar import

    WASHINGTON, 6 FEB – Presiden Joe Biden melanjutkan tarif yang dikenakan oleh bekas Presiden Donald Trump ke atas kebanyakan panel solar yang diimport dari China dan negara lain. Namun dalam sokongan terhadap usahanya untuk memerangi perubahan iklim dan merangsang tenaga bersih, Biden mengecualikan tarif ke atas sesetengah panel yang digunakan dalam projek utiliti besar-besaran.

    Biden berkata beliau akan meneruskan tarif untuk empat tahun lagi yang dikenakan oleh Trump ke atas sel dan panel solar import, namun beliau mengecualikan panel solar dwimuka yang boleh menghasilkan elektrik di kedua-dua bahagian dan kini digunakan dalam kebanyakan projek solar besar. Teknologi itu masih dibangunkan apabila tarif pertama dikenakan oleh Trump.

    “Dengan mengecualikan panel dwimuka, kami akan memastikan penggunaan solar diteruskan pada kadar diperlukan untuk memenuhi sasaran tenaga bersih dan dasar iklim presiden serta mewujudkan pekerjaan dalam negara,” kata Biden dalam kenyataan.

    Biden juga menambah dua kali ganda kuota import ke atas sel solar – komponen utama panel yang dipasang di bumbung dan tapak utiliti – kepada 5 gigawat, membenarkan lebih banyak jumlah sel import digunakan oleh pengeluar domestik. AS tidak menghasilkan sel solar, dan pentadbiran mahu memastikan pembekal domestik “tidak perlu membayar tarif ke atas input utama untuk proses pengeluaran mereka,” beritahu pegawai pentadbiran kanan baru-baru ini.

    Keputusan Biden untuk melanjutkan tarif ke atas sel dan panel solar import ‘memberikan industri pengeluaran solar domestik empat tahun lagi untuk menyesuaikan diri kepada persaingan import seperti yang ditetapkan dalam statut,” kata Heather Zichal, ketua pegawai eksekutif kumpulan.

    Di bawah keputusan Biden, tarif akan ditetapkan pada 14.75 peratus dan beransur-ansur dikurangkan kepada 14 peratus.

    Sejak tarif dikenakan, pengeluaran panel solar di AS telah meningkat tiga kali ganda. Syarikat China dan Korea Selatan telah mendirikan kilang di Georgia, Florida dan Alabama, dan firma AS, First Solar Inc., telah mengembangkan pengeluaran domestik di kilang di Ohio. – AP

    Juruelektrik memasang panel solar di atas garaj Terminal B di Lapangan Terbang LaGuardia, di kawasan Queens, New York. Biden melanjutkan tarif yang dikenakan oleh bekas Presiden Donald Trump ke atas kebanyakan panel solar yang diimport dari China dan negara lain baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...