Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    BILIF terima anugerah antarbangsa

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) melakarkan satu lagi mercu tanda dan pencapaian utama apabila terpilih untuk menerima Anugerah International Finance 2021 dalam kategori Best Emerging Islamic Finance Training Institution-Brunei 2021 dalam acara penganugerahan yang berlangsung di Jumeirah Emirates Tower Hotel, Dubai, Emiriah Arab Bersatu, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BILIF, di sini, hari ini, anugerah tahunan berkenaan dikendalikan oleh International Finance Magazine, United Kingdom di mana ia merupakan anugerah berprestij yang menumpukan bakat-bakat industri termasuk kemahiran dalam kepimpinan, nilai bersih serta keupayaan secara menyeluruh di platform antarabangsa.

    Kenyataan menerangkan lagi bahawa calon-calon terdiri daripada industri kewangan, perbankan, pembrokeran, insurans, utiliti serta telekom yang mana sebahagian besarnya adalah dari Timur Tengah, Asia, Eropah dan Afrika.

    Pemenang-pemenang anugerah dipilih berdasarkan kekuatan permohonan yang telah diserahkan serta pencapaian yang telah diraih dalam bidang masing-masing.

    BILIF yang dulu dikenali sebagai Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) merupakan sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan di bawah Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) yang menawarkan program pembelajaran dan latihan berkualiti tinggi serta menganjurkan seminar signature dan acara kolaborasi khususnya dalam bidang kewangan Islam dan Kepimpinan.

    Misi BILIF adalah untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan dalam bidang-bidang berkenaan melalui program-program yang mendalam dan acara-acara bertaraf antarabangsa.

    Sejak ditubuhkan pada 2010 hingga Disember 2021, BILIF telah menjalankan lebih dari 550 buah program dan kursus pembelajaran berkualiti tinggi dan menganjurkan 64 seminar signature dan acara kolaborasi bagi lebih 13,700 orang peserta. Ini adalah juga termasuk program-program Virtual Instructor-Led Training (VILT) dan acara-acara yang dikendalikan secara dalam talian.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BILIF, mereka boleh melayari laman sesawang BILIF.com.bn atau akaun Instagram @BILIF.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...