Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Brunei aktifkan kepantasan jalur lebar

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Bermula 1 September, industri telekomunikasi Brunei mengaktifkan program peningkatan jalur lebar dengan tujuan meningkatkan kelajuan garis dasar jalur lebar tetap kepada sekurang-kurangnya 50Mbps untuk semua pelanggannya.

    Inisiatif itu dipacu oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi Datastream Digital Sdn Bhd (DST), imagine Sdn Bhd dan Progresif Sdn Bhd dengan sokongan Pihak Berkuasa Industri Teknologi InfoKomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Darussalam Assets Sdn Bhd dan Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) untuk mentransformasikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara pintar, sejajar dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan Wawasan Brunei 2035.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNN di sini hari ini, objektif ini adalah untuk memastikan negara dan penduduknya mencapai ketersambungan digital yang bermakna dan mengangkat negara ke standard global.

    Pada masa ini, laporan Kelajuan Median Global Julai 2022 daripada Ookla (https://www.speedtest.net/global-index) menunjukkan Brunei pada nombor 99 di seluruh dunia dengan kelajuan median jalur lebar tetapnya.

    Ketua Produk dan Segmen Progresif, Abby Chu menyatakan, “Peningkatan jalur lebar baharu memberi kami peluang untuk memperkenalkan rangkaian produk jalur lebar yang lebih besar, baik, pantas dan kukuh kepada pelanggan kami.

    “Sehubungan itu, kami telah memaklumkan kepada pelanggan perubahan yang akan dibuat pada pelan sedia ada mereka. Perubahan kelajuan dalam pelan asas akan ditunjukkan pada laman sesawang melalui pautan SMS yang akan dihantar pada 1 September 2022,” katanya.

    Manakala Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju menekankan bahawa mereka menjangkakan perubahan menarik dalam pembangunan
    ICT negara pada minggu-minggu akan datang, dengan imagine akan menjalankan aktiviti penglibatan komuniti untuk mensosialisasikan tawaran terbaharu ini sambil pada masa yang sama menyerlahkan peluang yang dikaitkan dengan kelajuan lebar jalur yang lebih tinggi.

    “Pelanggan imagine yang dinaik taraf boleh melihat rancangan terkini mereka melalui aplikasi imagineGo dan portal laman web imagine,” tambahnya.

    Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Operasi DST, Ang Kian Han menambah, “Kita hidup dalam era di mana segala-galanya perlu pantas, jadi kita sentiasa perlu dikemas kini, itulah sebabnya kami memberi pelanggan Infinity kami pilihan untuk menaik taraf pelan mereka sama ada dengan ‘SuperSpeed’ untuk kepantasan atau ‘SuperSize’ untuk data lebih besar melalui aplikasi MyDST dengan mudah.”

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...