Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Brunei capai penuaan penduduk

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Menurut kiraan awal jumlah penduduk tahun 2021 bagi Banci Penduduk dan Perumahan 2021, warga emas yang berumur 60 tahun ke atas merangkumi 10.1 peratus daripada jumlah rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

    Ini menunjukkan bahawa negara telah pun mencapai fenomena penuaan penduduk atau population ageing.

    Oleh itu, persediaan bagi menangani implikasi yang berkaitan dengan fenomena ini perlu dipertingkatkan secara senegara dan bersepadu, mengambil kira keperluan warga emas, dalam semua dasar, strategi dan program.

    Ke arah itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad (gambar) berkata, Negara Brunei Darussalam memberikan keutamaan terhadap pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan warga emas melalui Pelan Tindakan Warga Emas di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS).

    Hampir 83 peratus daripada aktiviti-aktiviti di bawah pelan tindakan bagi 2017-2021 telah dan terus dilaksanakan, ujar beliau dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) ke-32.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, pelan tindakan berkenaan telah direbiu dan satu pelan tindakan baharu telah digariskan hasil kerjasama antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Kesihatan, dengan memfokuskan ke arah strategi penuaan yang berjaya ataupun successful ageing.

    Mengulas mengenai sambutan yang disambut setiap 1 Oktober dengan tema tahun ini, ‘Daya Tahan dan Sumbangan Warga Emas Wanita’, beliau menjelaskan bahawa ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penduduk warga emas yang semakin meningkat di negara ini di samping keperluan untuk memastikan setiap warga masyarakat berpeluang untuk mencapai umur tua dengan bermaruah serta berupaya untuk terus melibatkan diri dalam masyarakat sebagai warganegara yang mempunyai hak yang tersendiri.

    “Setentunya, sumbangan berterusan golongan warga emas juga sentiasa dihargai, khususnya sebagai sumber dalam mengongsikan pengalaman dan pengetahuan yang bernilai di samping peranan mereka dalam memegang keluarga dengan teguh melalui bimbingan dan nasihat,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato mengambil contoh ketika Negara Brunei Darussalam menghadapi situasi pandemik COVID-19, golongan warga emas turut menyumbangkan bakti sebagai sukarelawan yang membantu di pusat-pusat vaksinasi, pusat pengagihan catuan makanan COVID-19 dan pusat-pusat kesihatan.

    Sokongan dan sumbangan bakti tenaga mereka ini seharusnya dicontohi dan kita amat berbangga Brunei mempunyai golongan warga emas yang sentiasa menyokong usaha-usaha kerajaan dalam pelbagai aspek.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...