Wednesday, May 8, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    BSP, TOTAL perlu tambah pengeluaran minyak dan gas

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Jabatan Tenaga perlu menekankan sense of urgency kepada Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd dan TOTAL untuk menaikkan produksi minyak dan gas iaitu sweating their asset tanpa menjejaskan keselamatan.

    Cadangan itu dibuat oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin setelah mendapat maklum mengenai tahap produksi minyak dan gas negara adalah rendah yang turut menjejaskan pengurangan kadar pendapatan negara, yang antaranya disebabkan penangguhan tidak menentu dan masa tindak balas yang panjang untuk mengendalikan pemulihan.

    Menurut beliau lagi, BSP juga telah mengeluarkan perbelanjaan beratus-ratus juta ringgit Brunei dalam projek pemulihan sejak lima ke lapan tahun yang lepas namun belum lagi menampakkan hasilnya dari segi pengeluaran.

    Pada hari keempat permesyuaratan MMN yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty juga mencadangkan semula perancangan penggantian kakitangan mereka yang bertujuan untuk memastikan jawatan kepimpinan utama di BSP terdiri daripada orang-orang tempatan yang juga perlu dilaratkan kepada GLC yang lain.

    Mengulas isu-isu berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata, ia bukanlah suatu perkara yang baharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini namun ia sudah didengari sejak beberapa belas tahun yang lalu seperti asset integrity dan sebagainya.

    Yang Berhormat Hajah Rosmawatty semasa berucap, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Dalam bidang minyak dan gas, ujarnya, kadang kala jika isu itu tidak dikendalikan tepat pada masanya, ia akan menjejaskan produksi pada tahun-tahun yang akan datang dan ini bukanlah isu yang dapat diubah dalam tempoh yang singkat dan memerlukan masa yang lama.

    “Oleh itu, kita memang sentiasa memastikan mereka yang bertugas di industri minyak dan gas itu haruslah cukup dengan kepakarannya termasuklah orang tempatan di samping orang asing yang bekerja di negara ini di mana orang tempatan ini juga harus dipastikan mempunyai kepakaran dan pengalaman yang mencukupi bagi menjalankan tugasnya seharian,” tegasnya.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa ia bukanlah isu bahawa kita tidak memiliki sense of urgency malahan selama ini secara berterusan sentiasa mengadakan perbincangan dengan pengurusan Shell mengenai perkara berkenaan.

    Walau bagaimanapun, tambah beliau, pada masa pandemik COVID-19, kebanyakan jurutera dan pekerja yang tidak dapat masuk ke negara ini terutamanya pada 2020 dan 2021, maka banyak kerja penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan yang akhirnya turut menjejaskan produksi pada ketika ini.

    “Kita juga perlu memahami bahawa kita telah mengharapkan kepada minyak dan gas sejak bertahun-tahun maka cabaran yang kita hadapi sudah semestinya menjadi lebih mencabar dan bertambah dari sebelumnya,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...