Wednesday, May 8, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Bual bicara pupuk minat terhadap sejarah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Dalam usaha mendukung salah satu peranannya dalam memasyarakatkan sejarah bangsa dan negara kepada semua peringkat lapisan masyarakat di negara ini, Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Penerbitan dan Pemasaran buat julung kalinya telah mengadakan aktiviti Bual Bicara Bersama tiga orang Penulis Sejarah tempatan sempena Pesta Buku Brunei (PBB) 2022, hari ini.

    Bual bicara sejarah tersebut diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Dalam aktiviti itu, tiga orang penulis sejarah telah mengongsikan mengenai hasil penulisan mereka yang mana ia telah diterbitkan menjadi sebuah buku oleh PSB.

    Penulis-penulis berkenaan ialah Awang Hanafi bin Haji Salleh yang merupakan penulis buku ‘Merista: Kumpulan Artikel Sejarah’; Dayang Mardiah binti Haji Ramli selaku penulis buku ‘Pasukan Polis Diraja Brunei: Sejarah dan Perkembangan 1921-2004’ dan Dr Hajah Roziana binti Haji Mahmud pula penulis buku ‘Wanita Brunei: Pendidikan Pramerdeka (1914-1983)’.

    Aktiviti berkenaan dihasratkan dapat memupuk minat masyarakat terutama golongan belia dan kanak-kanak untuk mengenali, mengetahui, memahami dan mempelajari sejarah negara selain menjadi panduan dalam membangun negara bangsa pada masa akan datang, kerana sejarah menceritakan sesuatu perkara berdasarkan fakta.

    Sesi bual bicara yang dipengerusikan oleh Pegawai Sejarah, PSB, Dayang Farahaina binti Achong itu antara lain berobjektif untuk menyebarluaskan peranan dan fungsi PSB sebagai institusi penerbitan.

    Selain itu, ia juga diadakan bagi mendekatkan pengetahuan sejarah Brunei kepada orang ramai khususnya golongan belia dan juga kanak-kanak dalam sama-sama mengetahui dan mempelajari sejarah tanah air.

    Tiga penulis mengongsikan hasil penulisan mereka semasa aktiviti Bual Bicara bersama Penulis Sejarah, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...