Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Buat pemeriksaan, kesan kanser kolorektal

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Kanser kolorektal atau kanser usus besar merupakan kanser tertinggi dalam kalangan lelaki dan kedua tertinggi dalam kalangan wanita di Negara Brunei Darussalam pada 2020.

    Dalam hubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyertai program saringan kanser kolorektal yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan dengan matlamat untuk mencegah serta mengesan awal kanser sebelum individu berkenaan menunjukkan sebarang tanda atau gejala penyakit.

    Kanser yang dikesan pada peringkat awal akan mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapat rawatan yang berkesan serta mengelakkan atau mengurangkan komplikasi penyakit dan risiko kematian.

    Perkara berkenaan ditekankan oleh Pegawai Perubatan, Unit Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit, Dr Siti Zuhrini binti Haji Kahan dalam temu bual bersama Media Permata semasa Jerayawara Kesedaran Kanser Kolorektal yang diadakan semasa Program Bandarku Ceria, di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.

    Beliau menerangkan bahawa terdapat beberapa kriteria bagi mereka yang layak untuk mengikuti program saringan kanser kolorektal iaitu individu berumur 50 hingga 75 tahun, tidak pernah menghidap kanser kolorektal serta tidak pernah menjalani ujian darah dalam najis dalam masa dua tahun kebelakangan dan tidak pernah menjalani kolonoskopi dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

    Dr Siti Zuhrini mengalu-alukan orang ramai yang berkelayakan untuk menyertai program saringan kanser kolorektal bagi mencegah dan mengesan awal kanser berkenaan.

    Dr Siti Zuhrini menekankan bahawa amat penting bagi orang ramai menjaga diri dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat kerana usaha itu akan membantu mengurangkan risiko menghidap penyakit tidak berjangkit termasuk kanser.

    Di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat, menjalani ujian saringan secara rutin juga tidak kurang pentingnya, ulasnya lagi.

    Beliau turut mendedahkan bahawa dalam dua tahun kebelakangan ini, aktiviti saringan kanser telah tergendala disebabkan oleh gelombang wabak COVID-19.

    Program saringan telah disambung semula sejak Mei 2022, oleh itu, mengalu-alukan orang ramai khususnya mereka yang memenuhi kriteria untuk mendaftar bagi mengambil bahagian dalam program saringan berkenaan.

    Di Negara Brunei Darussalam, terdapat empat jenis pemeriksaan atau saringan yang ditawarkan di bawah Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (PPKK) dan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan di keempat-empat daerah di negara ini.

    Program itu merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kesihatan dalam mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit di Negara Brunei Darussalam seperti penyakit kanser, kencing manis, penyakit jantung dan strok iaitu penyebab utama kematian bagi rakyat dan penduduk tetap di negara ini.

    Bagi yang berminat untuk mendaftar untuk program saringan, terdapat tiga cara mendaftar iaitu dengan mengisi borang penyertaan yang boleh didapati di kaunter resepsi di mana-mana pusat kesihatan dengan borang yang diisi hendaklah dikembalikan ke dalam Kotak Peti Pelanggan yang telah disediakan, memuat turut borang penyertaan di laman sesawang, www.ppkk.gov.bn dan e-mel ke health.screening@moh.gov.bn atau mendaftar secara dalam talian di www.ppkk.gov.bn mengggunakan akaun e-Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...