Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Cacar monyet dinamakan mpox

    GENEVA, 28 NOV – Dalam usaha mengelakkan stigma berpunca daripada nama yang sedia ada, cacar monyet kini akan dinamakan mpox dalam Bahasa Inggeris, umum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

    Cacar monyet menerima namanya sempena virus yang pada asalnya dikenal pasti dalam monyet yang dikurung untuk penyelidikan di Denmark pada 1958, tetapi penyakit itu ditemui dalam beberapa haiwan, dan paling kerap dalam rodensia.

    “Berikutan beberapa siri rundingan dengan pakar global, WHO akan mula menggunakan istilah baharu ‘mpox’ sebagai sinonim untuk cacar monyet.

    Kedua-dua nama itu akan digunakan serentak selama satu tahun sementara ‘cacar mon-yet’ dihentikan secara berperingkat-peringkat,” kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam satu kenyataan.

    “WHO akan mengguna pakai istilah mpox dalam komunikasinya dan menggalakkan orang lain supaya mengikuti cadangan ini, untuk meminimumkan kesan negatif berterusan yang timbul daripada nama sekarang dan daripada penggunaan nama baharu tersebut.”

    Penyakit itu pertama dikesan dalam manusia pada 1970 di Republik Demokratik Congo, dengan penyebaran dalam kalangan manusia sejak itu sebahagian besarnya terhad kepada negara Barat dan Afrika Tengah di mana ia sudah menjadi endemik.

    Namun pada Mei tahun ini, kes-kes penyakit itu, yang menyebabkan demam, sakit otot dan kudis seakan-akan cacar, mulai merebak dengan pesat di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

    Kira-kira 81,107 kes dan 55 kematian telah dilaporkan kepada WHO pada tahun ini, dari 110 buah negara. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...