Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Cadiz tewas di tangan Sevilla

    BARCELONA, SEPANYOL, 4 JAN – Sevilla merapatkan jurang dengan pendahulu, Real Madrid dalam saingan La Liga setelah mencatat kemenangan 1-0 ke atas Cadiz, kelmarin, manakala Oihan Sancet meledak hatrik untuk Athletic Bilbao.

    Gol separuh masa kedua melalui Lucas Ocampos membantu Sevilla mengejar hanya lima mata daripada pendahulu. Sevilla juga mempunyai satu lagi perlawanan untuk dimainkan daripada Madrid.

    Sevilla merebut peluang untuk merapatkan kedudukan setelah pasukan kendalian Carlo Ancelotti ditundukkan oleh Getafe Ahad lalu, kekalahan tersebut mengakhiri rekod 15 perlawanan tanpa kalah Real dalam semua kejohanan.

    Percubaan Joan Jordan terkena tiang gol pada awal perlawanan untuk Sevilla, yang kehilangan beberapa orang pemain.

    Pasukan Sevilla tanpa tujuh orang pemain, yang tidak didedahkan oleh kelab, kerana jangkitan COVID-19. Pemain pertahanan, Jules Kounde turut digantung, sementara Suso Fernandez, Erik Lamela dan Jesus Navas sedang pulih dari kecederaan.

    Ocampos menembusi pertahanan Cadiz yang ketat pada minit ke-58. Ivan Romero mengawal bola di kawasan itu, membuat hantaran kepada Ivan Rakitic, yang menggunakan satu sentuhan untuk mencari Ocampos yang kemudian menjaringkan gol dari sudut.

    “Memandangkan dengan ketiadaan banyak pemain kami, kami gembira,” kata Ocampos. Dia mendedikasikan golnya itu untuk isterinya yang sedang mengasingkan diri sebab ujian positif COVID-19.

    Sevilla melebarkan kedudukan dengan lapan mata di hadapan Real Betis di tempat ketiga. Atletico Madrid ketinggalan satu mata lagi di tangga keempat, diikuti Barcelona yang ketinggalan satu mata lagi.

    Cadiz berada di tempat kedua tercorot. – AP

    Aksi pemain tengah Sevilla dari Argentina, Lucas Ocampos membuat percubaan semasa perlawanan liga Sepanyol antara Cadiz CF dan Sevilla FC di stadium Nuevo Mirandilla di Cadiz, pada 3 Januari 2022. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...