Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    China sokong delegasi IAEA ke loji nuklear Ukraine

    NEW YORK, 7 SEPT – Duta China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengulangi sokongan China terhadap Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan menggesa pihak terbabit supaya memastikan keselamatan kemudahan nuklear di Ukraine.

    Timbalan Wakil Tetap China ke PBB, Geng Shuang menyifatkan lawatan Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi dan rakan sekerjanya ke loji tenaga nuklear Zaporizhzhia di Ukraine sebagai amat berjaya.

    “Lawatan itu membantu mendapat pemahaman yang menyeluruh dan objektif mengenai operasi kemudahan berkenaan serta kerosakannya sebelum tindakan bersasar diambil,” kata Geng ketika berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB berhubung situasi loji Zaporizhzhia, kelmarin.

    Minggu lalu, Grossi mengetuai misi yang terdiri 14 orang pakar melawat loji kuasa nuklear berkenaan, dan dua daripada mereka kekal berada di sana untuk memastikan keselamatan kemudahan itu.

    “China gembira melihat perkembangan positif itu dan menghargai usaha Ketua Pengarah Grossi dan pakar IAEA.

    “Tetapi serangan ke atas loji itu berterusan dan ia tidak berhenti walaupun IAEA telah tiba di kemudahan tersebut. Perkara ini benar-benar membimbangkan,” kata beliau.

    Geng menyeru kepada pihak terlibat supaya mengelakkan sebarang tindakan yang membahayakan kemudahan nuklear. Menurut beliau, sejak tercetusnya krisis Ukraine, dunia diselubungi kebimbangan berikutan ancaman konflik ketenteraan terhadap keselamatan loji kuasa nuklear.

    “Demi nyawa rakyat dan kesejahteraan generasi sekarang dan akan datang, kita perlu melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan,” kata Geng. – Bernama

    Ketua Pengarah IAEA Rafael Mariano Grossi bercakap semasa sidang media selepas pulang dari loji tenaga nuklear Zaporizhzhya, Ukraine. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...