Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Dasar, garis pandu kawal selia aktiviti pembalakan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Isu-isu kerosakan jalan raya dan kemusnahan ekosistem hutan disebabkan oleh aktiviti-aktiviti pembalakan adalah antara yang telah dibangkitkan semasa sesi perbahasan dalam permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, baru-baru ini.

    Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub mengungkapkan pertanyaan mengenai lesen dan kebenaran menebang kayu balak serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat-syarikat pembalakan terutama dalam memelihara alam semula jadi, harta benda kerajaan dan pihak awam dan adakah pihak-pihak penguat kuasa sentiasa memantau aktiviti mereka dari semasa ke semasa.

    Dalam menjawab persoalan tersebut, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menjelaskan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perhutanan sentiasa mengamalkan pengurusan hutan lestari demi memastikan sumber hutan dimanfaatkan secara berterusan bagi mengimbangi kepentingan alam sekitar, ekonomi dan sosial demi kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam.

    “Bagi memastikan aktiviti pembalakan dapat mengimbangi kepentingan-kepentingan yang dimaksudkan tersebut, beberapa perundangan dasar-dasar dan juga garis pandu telah ditetapkan, antaranya Akta Hutan Penggal 46, Garis Pandu Tebang Pilih Brunei (Brunei Selective Felling System Guideline) dilaksanakan sejak 1986, dan Dasar Penebangan Tebang Satu Tanam Empat dilaksanakan sejak 1993,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, bagi operasi pembalakan khusus sistem Tebang Pilih Brunei, ia menekankan pengurangan kesan pembalakan kepada alam sekitar, di antaranya adalah seperti mengehadkan diameter dan spesies pokok yang ditebang, memastikan adanya pokok induk (mother tree) untuk generasi seterusnya, melaksanakan kerja-kerja penanaman Tebang Satu Tanam Empat, dan mengehadkan kuota tahunan pembalakan sejumlah 100,000 meter padu setahun.

    Selain daripada itu, katanya, Jabatan Perhutanan juga menyediakan tiga kumpulan peraturan mengikut fasa pembalakan iaitu aktiviti sebelum, semasa dan selepas pembalakan.

    “Jabatan Perhutanan akan melaksanakan pemeriksaan secara rambang dari semasa ke semasa selepas pembalakan bagi memastikan undang-undang, dasar-dasar dan garis pandu yang telah dipatuhi oleh syarikat-syarikat pembalakan.

    “Jika terdapat sebarang perlanggaran, maka tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan-peruntukan kesalahan di bawah akta-akta yang berkuat kuasa masa ini seperti Akta Hutan Penggal 46,” tekannya.

    Dalam menjawab persoalan berhubung kait dengan isu-isu kerosakan jalan raya, beliau menyatakan terdapat peraturan-peraturan pengangkutan balak-balak dari hutan dan garis pandu lori balak dan had muatan.

    Dalam memastikan peraturan-peraturan dan garis pandu tersebut dipatuhi oleh syarikat-syarikat pembalakan, menurutnya, pihak jabatan sentiasa membuat rondaan di kawasan-kawasan pembalakan dari semasa ke semasa bagi memastikan lori-lori balak tidak membawa lebih muatan daripada yang dihadkan.

    “Mengenai dengan jalan utama yang ada kalanya rosak, Jabatan Perhutanan sentiasa menekankan kepada setiap syarikat pembalakan untuk melaksanakan peranan masing-masing dalam membaiki jalan-jalan berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat,” kongsinya lagi.

    Perkara tersebut, kata Yang Berhormat Dato itu, mendapat sokongan dan kerjasama daripada pihak-pihak syarikat pembalakan di mana syarikat-syarikat telah membantu dalam kerja-kerja pembaikan jalan-jalan rosak dengan kos perbelanjaan mereka sendiri.

    Beliau juga memberikan pencerahan mengenai zon-zon kawasan pembalakan yang dibenarkan di Daerah Tutong yang ditanyakan oleh Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin terdahulu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...