Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Didenda $500 jual walkie-talkie tanpa lesen

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Seorang warga Bangladesh telah dikenakan denda kompaun berjumlah $500 oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34(2) Perintah Telekomunikasi, 2001 dengan menawarkan untuk penjualan dan menjual peralatan telekomunikasi tanpa lesen yang sah.

    Pesalah terbabit diberikan tempoh 14 hari untuk menyelesaikan denda tersebut.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan AITI, hari ini, berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pegawai dari Unit Penguatkuasaan AITI, pesalah itu didapati menawarkan untuk menjual beberapa alat walkie-talkie dan aksesori telekomunikasi lainnya.

    Pada masa yang sama, pesalah berkenaan juga tidak memiliki lesen perniagaan yang sah daripada pihak AITI bagi kebenaran menjalankan penjualan peralatan telekomunikasi.

    Kenyataan turut menjelaskan walkie-talkie tersebut didapati tidak menepati piawaian yang diluluskan dan tiada bukti sebarang dokumen permit import yang disahkan dalam memastikan peralatan itu mematuhi standard keselamatan dan teknikal negara.

    Sehubungan itu, AITI ingin mengingatkan orang ramai bahawa menggunakan peralatan telekomunikasi yang tidak mematuhi peraturan boleh menyebabkan gangguan kepada peralatan, stesen, rangkaian atau sistem telekomunikasi lain.

    Kesan-kesan yang lain termasuklah gangguan kuasa elektrik atau kebocoran/kelepasan elektrik, ketidakupayaan peranti tersebut untuk berfungsi seperti yang sepatutnya serta boleh menyebabkan kemudaratan kepada pengguna ataupun orang awam.

    Oleh itu, orang ramai juga disarankan untuk sama-sama membantu dalam usaha menghentikan kegiatan menyalahi undang-undang tersebut dan mereka boleh menghubungi pihak AITI melalui emel info@aiti.gov.bn untuk membuat sebarang aduan.

    Antara walkie-talkie bersama aksesori lainnya yang didapati tidak mempunyai lesen jualan sah.
    Pegawai penguat kuasa AITI semasa menjalankan penyiasatan ke atas seorang warga Bangladesh kerana menjual alat walkie-talkie dan aksesori telekomunikasi lainnya tanpa lesen.

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...