Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Dua ketua kampung di Daerah Temburong terima sijil lantikan

    TEMBURONG, 24 APRIL – Awang Mohammad Afnan bin Haji Gapor dilantik sebagai ketua kampung tingkat I, Kampung Belais dan Buda-Buda manakala itu, Awang Mohamad Aiman bin Haji Ali sebagai ketua kampung tingkat I, Kampung Menengah.

    Majlis penyampaian sijil lantikan kepada kedua-dua ketua kampung berkenaan telah diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Temburong, hari ini.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil lantikan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

    Pada majlis itu, selepas menerima sijil lantikan, kedua-dua ketua kampung berkenaan membaca ikrar dan kemudiannya menandatangani ikrar sebelum menyampaikan ucapan masing-masing.

    Acara kemudiannya ditutup dengan perasmian papan tanda ketua kampung di kediaman kedua-dua ketua kampung yang baru dilantik berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEDN, Awang Mohammad Afnan merupakan calon tunggal yang layak bagi mengisikan kekosongan jawatan ketua Kampung Belais dan Buda-Buda semasa majlis pengundian dan pemilihan calon yang telah diadakan pada 16 April 2021, di mana beliau mengukir sejarah apabila menjadi calon tunggal daripada golongan belia setakat tahun itu bagi Daerah Temburong.

    Manakala itu, Awang Mohamad Aiman juga merupakan calon tunggal bagi mengisikan kekosongan jawatan ketua Kampung Menengah semasa majlis pengundian dan pemilihan calon pada 23 April 2021.

    Awang Abdul Walid bergambar ramai bersama ketua-ketua kampung yang menerima sijil lantikan pada majlis itu. – Gambar serahan KHEDN
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...