Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Dua produk kesihatan tercemar

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Orang ramai diseru untuk tidak menggunakan dua produk kesihatan yang didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan setelah hasil ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan menyatakan produk tersebut adalah SE Saraf Emas Rawat & Pulih Saraf 100% Herbal Asli Zat 1001 Penawar, yang dicemari dengan Dexamethasone dan Betamethasone dan Extrak Kapsul Daun Sirih Cina Untuk Pria dan Wanita Asam Urat Nyeri Tulang Kolesterol Jerawat Penyakit Kulit, yang dicemari dengan Diclofenac, Chlorpheniramine, Acetaminophen, Dexamethasone dan Betamethasone.

    Bahan pencemar dalam produk itu boleh mengakibatkan kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Menurut Kementerian Kesihatan, Chlorpheniramine digunakan untuk melegakan gejala-gejala alahan yang mana ianya mempunyai beberapa kesan mudarat termasuk rasa mengantuk, pening, kelemahan otot, tekanan darah menurun, kabur penglihatan, mulut kering, kemurungan, denyutan jantung tidak menentu, meningkat selera makan dan berat badan.

    Penggunaan bahan kortikosteroid Dexamethasone dan Betamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

    SE Saraf Emas Rawat & Pulih Saraf 100% Herbal Asli Zat 1001 Penawar.
    Extrak Kapsul Daun Sirih Cina untuk Pria dan Wanita yang dicemari bahan terlarang Diclofenac, Chlorpheniramine, Acetaminophen, Dexamethasone dan Betamethasone.

    Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome yang mana ciri-cirinya adalah seperti muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan yang atas dengan anggota kaki dan tangan yang kecil.

    Diclofenac adalah sejenis ubat penahan sakit yang apabila dimakan tanpa pengawasan boleh menyebabkan ulser peptik, pendarahan usus, loya, muntah-muntah, kabur penglihatan, edema, penyakit kuning, kegagalan buah pinggang.

    Acetaminophen atau Paracetamol boleh diambil untuk rawatan-sendiri (self-medication), tetapi apabila perubatan tradisional tidak diisytiharkan mengandungi Acetaminophen atau Paracetamol, pengambilannya yang berlebihan tanpa disedari boleh membawa pada kerosakan hati, kegagalan buah pinggang, koma dan akhirnya kematian.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut.

    Berikutan dapatan ini, produk-produk tersebut adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta.

    Jika mereka mengalami kesan mudarat dan merasa tidak sihat selepas memakan produk tersebut, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk itu termasuk penjualan secara dalam talian adalah diingatkan ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...