Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    eKadaiBrunei.bn juara WSIS Prizes 2022

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – eKadaiBrunei.bn telah tersenarai sebagai salah satu daripada empat juara dalam pertandingan Hadiah Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS Prizes) 2022, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi kategori WSIS Action Line ICR Applications: e-business.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), di sini, hari ini, pihak ITU pada 1 September 2021 telah melancarkan WSIS Prizes 2022 Edisi ke-11 yang merupakan inisiatif global bagi mengiktiraf amalan terbaik teknologi maklumat dan komunikasi dan komunikasi (ICT) dalam melaksanakan WSIS Action Lines dan memajukan matlamat-matlamat pembangunan mapan.

    WSIS Prizes adalah pertandingan antarabangsa yang unik, dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek dan aktiviti yang memanfaatkan ICT bagi memajukan pembangunan yang mampan.

    Bagi edisi 2022, WSIS Prizes telah menerima sebanyak 966 penyertaan bagi 18 kategori di bawah WSIS Action Lines dan pada 20 April lalu, pihak ITU telah memaklumkan sebanyak 90 projek termasuk eKadaiBrunei.bn tersenarai sebagai juara.

    Kenyataan menyatakan bahawa 18 pemenang dalam kalangan juara-juara yang disenarai pendek telah diumumkan dalam majlis khas semasa Forum WSIS yang diadakan pada 31 Mei lalu di Ibu Pejabat ITU, Geneva, Switzerland.

    Houlin Zhao menyampaikan sijil anugerah kepada Dayangku Nooraslena pada majlis khas semasa Forum WSIS yang diadakan di Ibu Pejabat ITU, Geneva, Switzerland. – Gambar serahan AITI

    Para pemenang telah menerima anugerah daripada Setiausaha Agung ITU, Houlin Zhao.

    Hadir bagi menerima anugerah juara bagi pihak Negara Brunei Darussalam ialah Pemangku Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, Dayangku Nooraslena binti Pengiran Dato Paduka Haji Sallehuddin.

    Kenyataan menerangkan bahawa eKadaiBrunei.bn merupakan sebuah portal direktori dalam talian yang dilancarkan oleh AITI dengan sokongan daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Darussalam Enterprise (DARe).

    Ia berfungsi sebagai platform padanan perniagaan (business matching) antara peniaga-peniaga tempatan dalam mengguna pakai dan menyertai aktiviti e-dagang serta menghubungkan pengguna dengan penyedia-penyedia e-dagang tempatan, perkhidmatan logistik dan penghantaran serta Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

    Portal yang dibangunkan sebagai usaha untuk menangani impak penularan gelombang pertama COVID di Negara Brunei Darussalam itu bertujuan untuk membolehkan orang ramai membeli-belah dalam talian bagi barangan keperluan harian seperti makanan, barangan runcit, pakaian dan banyak lagi tanpa melibatkan sebarang interaksi fizikal.

    Setakat ini, terdapat 47 peniaga e-dagang dan 14 pengendali perkhidmatan penghantaran dan logistik telah didaftarkan dalam platform berkenaan sejak ia diperkenalkan pada 1 April 2020.

    Tahun ini merupakan kali kedua Negara Brunei Darussalam dipilih sebagai juara dalam pertandingan WSIS Prizes.

    Sebelum ini, projek Nuara E2-Effective and Efficient oleh syarikat pembangunan perisian dan perunding IT tempatan iaitu Nuara Group, pernah dinobatkan sebagai juara WSIS Prizes 2019 dan merupakan antara lima projek teratas dalam kategori ICT Applications: e-business.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...