Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Emma Raducanu dilantik duta jenama Porsche

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Emma Raducanu telah melakar sejarah tenis di Kejohanan Terbuka AS dengan kemenangan yang sensasi di New York pada musim panas 2021 membolehkannya menjadi pemain kelayakan pertama yang memenangi kejohanan Grand Slam.

    Kini warga Britain berusia 19 tahun itu akan menjadi salah satu wajah Porsche dalam tenis wanita dan mewakili pengeluar kereta sport di seluruh dunia pada masa hadapan sebagai duta jenama berkenaan.

    Emma Raducanu menggambarkan generasi baharu, pemain muda yang berjaya dalam perjalanan ke puncak tenis wanita. Dia kini menduduki ranking ke-13 dunia. Selepas kejayaannya di Terbuka AS, dia telah dinamakan Member of the Order of the British Empire di negaranya.

    Dia adalah wanita termuda yang pernah menerima penghormatan itu dan pada bulan April, dia akan membuat penampilan sulungnya di Grand Prix Tenis Porsche di Arena Porsche Stuttgart.

    “Bagi saya menjadi duta jenama untuk Porsche amat bermakna,” kata Emma Raducanu. “Porsche adalah salah satu jenama yang saya sukai sejak kecil lagi.

    Emma Raducanu menjadi salah satu wajah Porsche dalam tenis wanita dan mewakili pengeluar kereta sport sebagai duta jenama berkenaan. – Gambar serahan Porsche

    Salah seorang jurulatih tenis pertama saya memandu 911. Setiap kali saya datang untuk berlatih pada waktu pagi, saya akan melihat Porsche beliau. Saya akan menjadi terpesona dan seperti bermimpi suatu hari nanti duduk sendiri. Semasa menginjak dewasa, saya pergi ke Brands Hatch dan menonton perlawanan akhir Piala Porsche Carrera. Adrenalin akan dapat saya rasakan daripada sukan permotoran dan melihat Porsche sebenarnya adalah bahagian paling menyeronokkan.

    “Sangat penting bagi saya untuk menyelaraskan dengan rakan kongsi dan jenama yang saya rasa sangat berminat dan yang saya kenal pasti. Saya rasa perkongsian dengan Porsche ini luar biasa dan jelas sekali saya sangat teruja untuk melihat perkara menarik yang boleh kami lakukan untuk masa hadapan,” tambah Emma Raducanu.

    “Kami berbesar hati mengalu-alukan Emma Raducanu dalam keluarga Porsche sebagai duta jenama,” kata Pengerusi Lembaga Eksekutif di Porsche AG, Oliver Blume.

    “Dia bukan sahaja merangkumi generasi baharu pemain yang kuat dan yakin diri tetapi, sebagai personaliti, juga merupakan inspirasi dan teladan di luar bidang sukannya untuk wanita muda di seluruh dunia.

    “Melalui kehidupannya sendiri, dia menunjukkan bahawa seseorang boleh mencapai matlamatnya jika percaya pada diri sendiri dan bersedia untuk bekerja keras. Oleh itu, dia sangat sesuai untuk Porsche dan nilai yang dimiliki syarikat itu,” tambah pengerusi lembaga eksekutif itu.

    Emma Raducanu ialah wanita Britain pertama memenangi Grand Slam sejak Virginia Wade pada 1977 di mana dia telah dilahirkan di Toronto, Kanada pada 13 November 2002.

    Pada usia dua tahun, dia kemudian berpindah bersama ibu bapanya ke Great Britain. Ayahnya berasal dari Romania, ibunya dari China dan mula menceburi tenis pada usia lima tahun.

    Pencapaian terbesarnya setakat ini dalam kerjayanya yang muda dan sangat menjanjikan datang apabila dia memenangi Kejohanan Terbuka AS tersebut secara sensasi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...