Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Evolusi permotoran kereta mewah di Itali

    MODENA, ITALI – Sekiranya Tuscany memiliki Chianti, rantau Itali di Emilia-Romagna boleh berbangga dengan ‘Motor Valley’, satu kawasan yang mempunyai salah satu tumpuan tertinggi kereta sport mewah dan motosikal di dunia.

    Diberi gelaran ‘Wilayah Kenderaan Bermotor’, kawasan itu merangkumi tanah pertanian utama seluas 1,000 kilometer yang terletak di antara Bologna dan Modena, dan menjadi tempat asal kepada kereta Lamborghini dan Ferrari, Maserati dan Ducati, selain jenama yang kurang terkenal.

    Setiap tahun, dengan sekatan koronavirus dilonggarkan secara beransur-ansur, industri dan peminat kereta telah datang berduyun-duyun ke Modena pada hujung minggu untuk berbincang mengenai perniagaan serta melihat kereta dan motosikal luar biasa yang dipamerkan di bandar.

    Di antara kereta yang dipamerkan pada tahun ini ialah Pagani Huayra, kereta eksotik hypercar futuristik yang dibangunkan beberapa kilometer dari kilang Pagani di San Cesario sul Panaro, di mana kenderaan tersebut ditempah mengikut ukuran – dan dijual pada harga permulaan 2.6 juta euro (AS$2.8 juta).

    Christopher Pagani, anak lelaki pengasas dan ketua komunikasi, memberitahu AFP bahawa ia mengambil masa di antara lapan dan sembilan bulan untuk menghasilkan sebuah kereta, dengan pelanggan biasanya menunggu selama dua tahun di antara tempahan dan penyerahan kereta.

    Christopher Pagani bergambar di kilang Pagani di San Cesario sul Panaro, Modena. – AFP
    Orang ramai melawat sebuah muzium yang didedikasikan kepada kereta sport Itali Pagani di San Cesario sul Panaro, berhampiran Modena, utara Itali. – AFP
    Pekerja memasang kereta baharu di kilang kereta sport mewah Itali Pagani di San Cesario sul Panaro, utara Itali. – AFP
    Orang ramai mengunjungi pameran kereta mewah Itali Pagani di Piazza Mazzini di Modena. – AFP
    Kereta Pagani Zonda R dipamerkan di kilang kereta sport Itali Pagani di San Cesario sul Panaro. – AFP
    Seorang lelaki membersihkan Bugatti EB110 yang dipamerkan di Piazza Matteotti di Modena semasa Pamaren Motor Valley di Emilio-Romagna, Modena. – AFP

    “Pada tahun 2022, kami mengeluarkan kira-kira 40 hingga 45 buah kereta. Kesemua kereta berkenaan adalah amat istimewa kerana setiap pelanggan berpeluang berkomunikasi dengan kami, mengunjungi kilang kami serta melancarkan perjalanan memiliki kereta ini dari proses awal hingga akhir,” kata beliau.

    Di kilang – digelar ‘bengkel’ – puluhan orang, kebanyakannya orang muda, bekerja dalam persekitaran yang senyap dan teratur dalam makmal sains.

    Untuk jenama itu, berat merupakan elemen paling penting dan jurutera menggunakan 40 jenis gentian karbon yang berlainan, serta bahan titanium dan aluminium dalam menghasilkan kereta yang seberapa ringan mungkin.

    Menurut Pagani, mereka sedang mengadakan perbincangan dengan pelanggan mengenai kemungkinan menghasilkan kereta versi elektrik, walaupun jika ia adalah lebih berat disebabkan bateri, sebagai sebahagian daripada trend ke arah pembuatan kenderaan lebih hijau.

    Bapa Pagani, Horacio, menubuhkan syarikat tersebut pada tahun 1998 selepas bekerja di syarikat Lamborghini, satu lagi jenama mewah Itali yang berpangkalan di kawasan tersebut.

    Menurut legenda, Ferruccio Lamborghini, pemilik sebuah kilang traktor yang kaya, mula melibatkan diri dalam perniagaan kereta sport pada tahun 1950 selepas mengadu mengenai Ferrari miliknya.

    Enzo Ferrari dikatakan telah memberitahunya bahawa jika dia tidak suka apa yang dihasilkannya, dia harus membangunkan keretanya sendiri. Tapak Ferrari Maranello terletak di luar Modena, sementara rantau itu juga mempunyai Dallara, yang membekalkan kereta untuk perlumbaan IndyCar di Amerika Syarikat, dan firma motosikal Energica.

    “Kejayaan yang dikecapi boleh disumbangkan kepada hasil usaha beberapa generasi,” kata Andrea Corsini, yang mengendalikan bidang pengangkutan, infrastruktur dan pelancongan di rantau Emilia Romagna.

    Nama ‘Motor Valley’ secara tidak langsung dikaitkan dengan Silicon Valley di California, di mana kumpulan syarikat teknologi mendapat bakat dan keuntungan.

    Di sini, pengeluar menemui kemahiran tersedia dalam kalangan petani yang, sejurus selepas Perang Dunia Kedua, terpaksa belajar membaiki jentera mereka sendiri.

    Hari ini, kawasan tersebut mempunyai 16,000 buah syarikat, empat litar perlumbaan, enam pusat latihan dan menggaji lebih 99,000 orang, menurut kumpulan pemikir Riparte I’Italia.

    “Dari segi peluang pekerjaan dan kontak dengan syarikat, di sini adalah tempat terbaik untuk semua,” kata Emilio, 24 tahun, pelajar kejuruteraan kereta di selatan Itali, yang datang ke Modena pada hujung minggu.

    Sektor itu mencatat kadar pusing ganti berjumlah 16 bilion euro setahun, yang mana tujuh bilion datang daripada eksport, dan masih merekodkan prestasi memberangsangkan, dengan Bugatti, Ferrari, Lamborghini, Bentley dan Porsche semuanya mencatat keputusan yang amat baik pada 2021.

    Di sinilah juga Bugatti menghasilkan model B110 GT pada awal 1990, dijual dengan harga 500 juta lire (kira-kira 260,000 euro pada masa itu). – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...