Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    FDA lulus prosedur rawat jangkitan usus

    WASHINGTON, 1 DIS – Pegawai Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan prosedur ‘pemindahan tahi’ pertama yang telah digunakan oleh doktor untuk merawat jangkitan usus.

    Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) semalam meluluskan Rebyota untuk orang dewasa yang mempunyai masalah dengan jangkitan Clostridium difficile, biasanya dirujuk sebagai C diff, sejenis bakteria yang mengakibatkan loya, kekejangan dan cirit-birit. Jangkitan itu amat berbahaya apabila ia berulang dan dikaitkan dengan kira-kira 15,000 hingga 30,000 kematian setahun. Selama lebih satu dekad, sesetengah doktor di AS telah menggunakan sampel najis dari penderma sihat untuk merawat jangkitan itu. Bakteria sihat daripada usus penderma terbukti telahmembantu penerima melawan bakteria C diff. Prosedur itu telah digunakan secara meluas kerana antibiotik tidak lagi berkesan bagi kebanyakan pesakit.

    Terapi baharu dari firma Ferring Pharmaceuticals Inc itu dihasilkan di sebuah fasiliti di Minnesota daripada sumbangan najis yang disaring untuk puluhan jangkitan dan virus. Terapi itu dijalankan menerusi rektum oleh profesional kesihatan sebagai prosedur yang dilakukan sekali sahaja.

    FDA berkata ia meluluskan rawatan itu berdasarkan keputusan daripada dua kajian di mana 70 peratus pesakit yang mengambil Rebyota melihat gejala mereka hilang selepas lapan minggu, berbanding dengan 58 peratus pesakit yang menerima plasebo.

    Rawatan baharu itu hanya untuk pesakit yang telah pun mengambil antibiotik untuk jangkitan berulang. Keadaan itu biasa dilihat dalam warga emas dan orang yang mempunyai sistem imun lemah. – AP

    Bangunan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan kelihatan di Silver Spring, Massachusett. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...