Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Awang Azhar bin Haji Kamero Jamen dan Awang Muhd Nazahar bin Mahadi, hari ini membawa pulang wang tunai $10,000 setiap seorang setelah masing-masing diumumkan sebagai pemenang utama promosi cabutan bertuah anjuran Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH) bagi bulan April dan Mei dalam.
Majlis penyampaian hadiah bagi promosi Hadiah Wang Tunai Sehingga $250,000 bagi April dan Mei itu berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara di mana hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah bin Haji Ibrahim.
Pada majlis itu, pemenang tempat kedua bagi April iaitu Dayang Zainab binti Jafar dan Pengiran Asnawi Arbi bin Pengiran Dato Paduka Haji Sharifuddin bagi Mei, masing-masing menang $2,500.
Manakala itu, Pengiran Zulaihi bin Pengiran Haji Besar, Awang Omar bin Haji Ismail, Awang Mohd Don bin Haji Junaidi, Dayangku Azura Aniqah binti Pengiran Haji Mohammad, Perusahaan CB dan Dayang Rosni Anak Ujang masing-masing menang hadiah wang tunai $1,000.
Awang Azhar, pemenang utama bagi April, ketika ditemu bual melahirkan rasa syukur atas rezeki yang tidak disangka itu.
Menurutnya, beliau mula menggunakan produk IITH sejak 2015 dan terpilih menyertai undian penentuan setelah membeli insurans kenderaan.
Manakala itu, Awang Muhd Nazahar selaku pemenang bulan Mei tidak menyangka akan memenangi hadiah $10,000 dan ia merupakan kali pertama beliau memenangi hadiah seumpamanya.
Menurutnya, beliau memilih untuk menggunakan produk IITH untuk insurans kenderaan setelah melihat ahli keluarga yang menggunakannya sejak sekian lama dan segala proses pengurusan setiap pembelian berjalan lancar dengan tawaran harga yang berpatutan.