Sunday, November 3, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tze Yong sasar bawa pulang pingat

    KUALA LUMPUR, 24 JUN – Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong menyasarkan untuk membawa pulang pingat buat Malaysia pada penyertaan sulungnya di Sukan Komanwel, Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

    Tze Yong dipilih sebagai pengganti kepada pemain profesional Malaysia, Lee Zii Jia selepas pemain itu membuat kejutan untuk menarik diri daripada menyertai temasya berkenaan.

    “Tidak kira warna pingat,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan kelmarin.

    Walaupun sasaran pingat tidak lagi diletakkan pada perseorangan lelaki namun pemain di ranking ke-48 dunia itu mengakui beliau tetap memikul tanggungjawab besar untuk menggantikan Zii Jia di temasya itu.

    Pemain berusia 22 tahun itu berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan cabaran atau lawan yang bakal dihadapinya nanti. Sebaliknya, mempersiapkan diri kerana ia adalah peluang terbaik untuknya menyerlahkan potensi sebenar.

    Zii Jia yang kini menduduki ranking kelima dunia memutuskan untuk tidak membuat penampilan ke Sukan Komanwel disebabkan jadual padat diharunginya sejak kebelakangan ini, di samping mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, dari 22 hingga 28 Ogos ini.

    Tugas berat menanti Tze Yong apabila dijangka berdepan dua pemain hebat dari India, Lakshya Sen dan Kidambi Srikanth serta juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda