Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Garis panduan sambut Tahun Baharu Cina diumumkan

    Oleh Syahmi Hassan & Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Jawatankuasa Pandu COVID-19 hari ini telah memaklumkan mengenai garis panduan berkaitan dengan acara-acara sempena Sambutan Tahun Baharu Cina bagi tahun 2022.

    Garis panduan itu adalah pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Makluman tersebut disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa sidang media bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    “Jika sambutan Tahun Baharu Cina diadakan di dewan maka had kapasiti adalah pada kadar 75 peratus daripada jumlah kapasiti penuh dewan pada satu masa ataupun maksima 300 orang (yang mana lebih rendah) iaitu mengikut had yang ditetapkan semasa Fasa Awal Endemik dengan tempoh tidak melebihi dua jam,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    Beliau menekankan bahawa pelaksanaan sambutan hendaklah mematuhi langkah-langkah pengawalan COVID-19 di bawah garis panduan perkumpulan ramai semasa Fasa Awal Endemik yang dilaksanakan pada masa ini.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa bercakap pada sidang media kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Jika acara diadakan di rumah persendirian, menurut Yang Berhormat Pehin, ahli keluarga terdekat sahaja dapat meraikan acara berkenaan di rumah persendirian, di mana perhimpunan hendaklah dihadkan kepada tidak melebihi daripada 30 orang tetamu dalam satu masa.

    Bagi persembahan tarian singa, menurut beliau, adalah dibenarkan bagi ahli rumah berkenaan sahaja secara peribadi iaitu dengan tidak mengundang ahli keluarga yang lain atau rakan-rakan yang bukan tinggal serumah.

    Dalam pada itu, langkah-langkah kawalan COVID-19 perlu dipatuhi semasa acara tersebut diadakan seperti semua dewan atau rumah mesti mendaftar untuk mendapatkan kod QR BruHealth; hanya individu yang telah diberikan vaksin penuh dibenarkan hadir dan dikehendaki menjalani ujian ART di rumah kediaman masing-masing sebelum memasuki atau
    menghadiri acara tersebut; penggunaan aplikasi BruHealth dimestikan.

    Selain itu, hidangan makanan dan minuman dibenarkan tetapi dalam bentuk makanan pek atau dihidang dalam dome warmers; pemakaian pelitup muka dimestikan kecuali semasa makan dan minum dan penjarakan fizikal adalah dimestikan.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan beberapa garis panduan khusus bagi persembahan tarian singa yang boleh diadakan.

    “Di perkarangan kawasan rumah-rumah kediaman ahli-ahli jawatankuasa pengelola sekolah, penasihat-penasihat dan orang-orang tertentu dalam masyarakat Tiong Hua; di kawasan tokong-tokong; di dewan-dewan sekolah, dewan-dewan tertutup termasuk dewan persatuan,” kongsi Yang Berhormat Pehin.

    Beliau menekankan bahawa persembahan tarian singa adalah tidak dibenarkan di tempat-tempat awam seperti hotel, restoran, kedai dan gedung perniagaan.

    Bagi persembahan tarian singa yang diadakan di tokong-tokong, dewan-dewan sekolah atau dewan tertutup, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa ia boleh diadakan dengan berpandukan kepada garis panduan bagi gereja dan tokong semasa Fasa Awal Endemik.

    Selain itu, menjawab mengenai pertanyaan yang diajukan, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa mereka yang bakal menyertai persembahan tarian singa adalah dimestikan menjalani ujian pantas antigen (ART) pada hari yang sama ketika melaksanakan
    majlis perayaan berkenaan di negara ini.

    Sebarang maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Bahagian Pengawalan Hiburan Awam dan Penerbitan melalui talian 2223225 sambungan 335 atau e-mel kepada laman
    sesawang hiburan.awam@moha.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...