Thursday, May 9, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Gol memukau Messi bantu PSG menang

    PARIS, 7 OGOS – Lionel Messi berjaya menyumbat dua gol pada separuh masa kedua, termasuk gol tendangan akrobatik menarik, ketika Paris Saint-Germain (PSG) memulakan misi mempertahankan gelaran Ligue 1 dengan membelasah Clermont 5-0, kelmarin.

    Neymar turut memberikan persembahan terbaik untuk PSG, yang tanpa Kylian Mbappe kerana kecederaan, dengan pemain Brazil itu membuka jaringan di Clermont sebelum membantu Achraf Hakimi dan Marquinhos menambah jaringan sebelum separuh masa.

    Messi kemudian bertukar-tukar hantaran dengan Neymar sebelum menambah gol keempat ketika perlawanan berbaki 10 minit.

    Messi sekali lagi menambah jaringan empat minit sebelum masa tamat dengan melakukan tendangan akrobatik selepas menerima hantaran daripada Leandro Paredes.

    Gol tersebut menjadikan keadaan di Stadium Stade Gabriel-Montpied menjadi gemuruh dan menyanyikan nama pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu, yang mengharungi musim pertama yang sukar di Paris.

    Aksi Lionel Messi mengawal bola semasa bermain menentang Clermont di Ligue 1, kelmarin. AFP

    Kemenangan itu adalah yang pertama buat jurulatih baharu PSG, Christophe Galtier dan memenanginya tanpa Mbappe kerana kecederaan.

    Mbappe juga terlepas aksi kemenangan 4-0 menentang Nantes semasa perlawanan pembukaan musim Trofi Juara-Juara disebabkan penggantungan.

    Messi turut menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, sementara Neymar meledak dua gol. Kedua-dua pemain itu sudah mengumpul enam gol pada musim ini, dengan PSG dilihat berada dalam prestasi terbaik.

    “Tidak dinafikan kami mempunyai ramai pemain berbakat tetapi apa yang saya ingin tekankan ialah keinginan pemain untuk merebut kembali bola dengan pantas selepas hilang, bermain dengan intensiti, dan tidak berputus asa,” kata Galtier, yang menggantikan Mauricio Pochettino, kepada penyiar Canal Plus.

    “Skuad ini sangat terbuka sejak saya tiba. Mereka suka bekerja keras bersama-sama, bergembira bersama-sama. Tetapi musim ini masih panjang. Ini baru satu perlawanan.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...