Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Guru OKU gigih hias bilik darjah

    PASIR MAS, 16 MEI – Melangkah masuk ke dalam sebuah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Uban, di sini, perasaan pasti terpegun melihat susun atur serta tata rias kelas tersebut yang memberi satu keadaan lebih selesa dan kondusif semasa sesi pembelajaran.

    Keterujaan itu pasti bertambah apabila mengetahui inisiatif tersebut dilakukan Abdullah Abdul Kadir, 28, guru Orang kelainan Upaya (OKU) yang hanya memiliki tangan kiri.

    Bercakap kepada Bernama, Abdullah yang mengajar subjek Pendidikan Islam berkata biarpun perlu melakukan semua kerja menghiasi kelas secara bersendirian, beliau tidak kisah kerana usaha tersebut memberi impak positif dalam pembelajaran khususnya kelas semakin selesa dan menarik.

    “Semua kerja seperti menghias papan kenyataan, jadual tugasan, carta organisasi, jadual waktu, jahit langsir, meletakkan alas meja termasuk kerja-kerja mengecat semuanya saya buat sendiri.

    “Walaupun hanya memiliki satu tangan, jiwa dan hati saya sangat cekal untuk melakukannya kerana tahu setiap kesukaran dan kepayahan pasti ada ganjaran dan hikmahnya,” kata anak jati Pasir Mas itu ketika ditemui baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, Abdullah yang mula mengajar di SK To’ Uban sejak Ogos 2018 berkata beliau sudah mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1,000 untuk menghias kelas tersebut dan amat tersentuh apabila anak muridnya memberi reaksi positif terhadap usahanya itu.

    “Saya hias bilik darjah itu dalam tempoh cuti sekolah awal tahun ini, apabila murid-murid datang memulakan sesi persekolahan pada Mac lepas, mereka terkejut malah ada yang cakap ‘rasa seperti berada di rumah’ selepas transformasi terhadap kelas tersebut.

    “Mereka juga dilihat semakin seronok datang ke sekolah, malah nampak lebih bersemangat,” kata alumni Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor itu. – Bernama

    Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Uban , Abdullah Abdul Kadir, 28, menunjukkan gambar dan nama murid yang ditampalkan di setiap meja di kelasnya ketika ditemui di SK To’ Uban di sini baru-baru ini. –Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...