Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Had umur minimum bekerja di luar negara dikurangkan

    COLOMBO, 21 JUN – Sri Lanka yang dilanda krisis hari ini mengurangkan had umur minimum bagi wanita yang ingin bekerja di luar negara kepada 21 tahun bagi tujuan mendapatkan mata wang dolar untuk membantu ekonomi negara itu.

    Colombo mengenakan sekatan umur ke atas wanita yang bekerja di luar negara pada 2013 selepas seorang pengasuh warga Sri Lanka berusia 17 dihukum mati di Arab Saudi selepas kematian seorang kanak-kanak di bawah jagaannya.

    Selepas kemarahan berikutan hukuman tersebut, hanya wanita yang berusia 23 tahun dan ke atas dibenarkan untuk bekerja di luar negara, sementara untuk Arab Saudi had umur minimum yang ditetapkan adalah 25 tahun.

    Namun dengan Sri Lanka mengalami krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan, pihak kerajaan hari ini melonggarkan peraturan, termasuk untuk Arab Saudi.

    “Menteri kabinet meluluskan keputusan untuk mengurangkan had umur minimum kepada 21 tahun bagi semua negara memandangkan terdapat keperluan untuk meningkatkan peluang pekerjaan luar negara,” kata jurucakap Bandula Gunawardana kepada wartawan.

    Kiriman wang dari pekerja-pekerja warga Sri Lanka yang bekerja di luar negara sudah lama menjadi sumber utama pertukaran mata wang asing untuk negara itu, yang mencatatkan kira-kira AS$7 bilion setiap tahun.

    Jumlah tersebut menurun semasa pandemik koronavirus kepada AS$5.4 bilion pada 2021 dan diramal akan terus merosot kurang daripada AS$3.5 bilion pada tahun ini disebabkan krisis ekonomi.

    Lebih 1.6 juta orang daripada 22 juta orang penduduk bekerja di luar negara, kebanyakan mereka di Timur Tengah. – AFP

    Kenderaan beratur untuk mendapatkan minyak petrol di stesen minyak di Sri Lanka. Sri Lanka kini mengurangkan had umur minimum bagi wanita yang ingin bekerja di luar negara kepada 21 tahun bagi tujuan mendapatkan mata wang dolar untuk membantu ekonomi negara itu.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...