Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Hampir 200 Rohingya mendarat di Indonesia

    BANDA ACEH, INDONESIA, 8 JAN – Sebuah bot kayu membawa hampir 200 pelarian Rohingya, majoritinya wanita dan kanak-kanak, mendarat di pantai barat Indonesia hari ini, polis berkata.

    Perahu berkenaan adalah bot kelima membawa pelarian Rohingya yang mendarat di Indonesia sejak November, menurut pihak berkuasa.

    Beribu-ribu orang kebanyakannya Muslim Rohingya, ditindas di Myanmar, menyabung nyawa setiap tahun dalam pelayaran laut yang lama dan mahal, kerap dalam bot-bot berkualiti rendah, sebagai percubaan untuk sampai ke Malaysia atau Indonesia.

    Perahu kayu berkenaan, membawa 69 lelaki, 75 wanita dan 40 kanak-kanak, mendarat kira-kira 2:30 petang waktu tempatan di pantai di wilayah paling barat Indonesia, Aceh, ketua polis tempatan Irwan Fahmi Ramli berkata hari ini.

    “Mereka pada amnya sihat, tetapi terdapat seorang wanita hamil dalam kalangan mereka, dan empat orang sakit,” kata Ramli.

    Pelarian-pelarian Rohingya berehat sejurus bot mereka mendarat di pantai Lamnga, wilayah Aceh, kelmarin. – AFP

    “Kami menyelaraskan dengan doktor-doktor yang akan datang ke sini untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan awal terhadap pelarian-pelarian, terutamanya mereka yang sakit.”

    Beliau menambah bahawa pelarian-pelarian berkenaan akan dipindahkan ke sebuah kemudahan kerajaan tempatan.

    Menurut salah seorang penumpang, bot tersebut meninggalkan Bangladesh pada 10 Disember lalu.

    “Kami merasa sangat gembira kerana kami tiba di sini. Enjin kami rosak dan kami juga tidak mempunyai makanan dalam bot,” Fairus yang berusia 26 tahun memberitahu pemberita.

    Kira-kira sejuta orang Rohingya dianggarkan tinggal di kem-kem pelarian di Bangladesh selepas mereka melarikan diri daripada penindasan di Myanmar pada 2017. Empat perahu membawa pelarian-pelarian Rohingya telah mendarat di Indonesia pada November dan Disember tahun lalu, membawa lebih 400 penumpang.

    Lebih 2,000 Rohingya dipercayai mencuba pelayaran berisiko berkenaan pada 2022, menurut agensi pelarian PBB, UNCR, pada jumlah yang sama dengan 2020. Agensi itu menganggarkan hampir 200 telah terbunuh atau masih hilang selepas mencuba pelayaran laut yang berbahaya itu tahun lalu.

    Namun perangkaan itu mungkin meningkat selepas saudara-saudara sekitar 180 pelarian, yang berada di sebuah lagi perahu terapung-apung di laut selama berminggu-minggu telah terputus hubungan dan dikhuatiri mati.

    UNHCR tidak dapat mengesahkan kematian mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...