Monday, May 6, 2024
22.8 C
Brunei

    -

    ‘Hari yang indah’ ​​untuk Vos

    PROVINS, PERANCIS, 26 JULAI 2022 – Pelumba basikal Belanda, Marianne Vos mengambil alih jersi kuning dalam Tour de France wanita dengan meraih kemenangan dalam pecut tiga penjuru untuk memenangi peringkat kedua dari Meaux ke Provins kelmarin.

    Pasukan Jumbo-Visma Vos telah berjaya mengetepikan Silvia Persico dan Katarzyna Niewiadoma bagi menuntut jersi daripada rakan senegara, Lorena Wiebes yang menamatkan saingan 29 saat di belakang di tempat keenam.

    Manakala Elisa Longo Borghini dari Trek-Segafredo, pemenang Paris-Roubaix dan pencabar sengit untuk jersi kuning di Perancis, menduduki tempat keempat.

    Sementara rakan senegaranya dari Itali, Marta Cavalli iaitu pemenang Amstel Gold dan Fleche-Wallonne pada tahun ini serta berpotensi untuk memenangi gelaran keseluruhan di sini turut terpaksa berputih mata.

    Pelumba basikal berusia 24 tahun itu merupakan mangsa utama dalam satu daripada tiga kemalangan teruk dalam pecutan 30 kilometer terakhir di mana angin bertiup sehingga 45 kmsj membuatkan para penunggang gelisah tentang kemungkinan pecah peloton.

    Pelumba FDJ-Suez-Futuroscope itu sudah berada di atas tanah apabila dia dilanggar oleh juara Australia, Nicole Frain yang meluru tanpa brek.

    Cavalli tanpa mahu mengalah, kembali menunggang basikalnya tetapi gagal menamatkan perlumbaan dengan pasukannya mengarahkan untuk ‘tidak mengambil risiko’.

    Ia merupakan hari yang buruk untuk FDJ apabila pelumba Denmark, Cecilie Uttrup Ludwig, pencabar berpotensi mereka yang lain, terperangkap dalam satu lagi kemalangan dan tewas lebih seminit kepada Vos, Longo Borghini dan Niewiadoma. – AFP

    Reaksi Marianne Vos meraikan jersi kuning pendahulu keseluruhannya di atas podium pada penghujung peringkat kedua edisi baharu perlumbaan berbasikal Tour de France Wanita, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Remaja ‘radikal’, 16 tahun mati ditembak polis Australia

    SYDNEY, 5 MEI - Polis Australia Barat menembak mati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang bertindak ganas selepas menikam seorang lelaki dengan pisau...