Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Saudi lancar reka bentuk bandar mesra alam baharu

    JEDDAH, 26 JULAI – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz kelmarin melancarkan reka bentuk The Line, sebuah bandar yang menampilkan gaya hidup mesra alam bagi berdepan krisis alam sekitar, lapor Xinhua.

    Bandar yang direka 200 meter lebar, panjang 170 kilometer serta berada 500 meter atas paras laut, merupakan revolusi tamadun manusia, membawa pengalaman hidup di bandar sambil memelihara alam sekitar, suatu pengalaman yang belum pernah dialami sebelum ini, katanya kepada agensi akhbar Saudi (SPA).

    Reka bentuk itu merangkumi keadaan masyarakat bandar pada masa hadapan yang bebas daripada kesesakan lalu lintas, kenderaan dan asap.

    Penduduk mendapat akses kepada semua kemudahan dengan hanya berjalan kaki selama lima minit, juga perkhidmatan rel berkelajuan tinggi dengan transit hujung ke hujung selama 20 minit, berdasarkan reka bentuk itu. Ia akan menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui, mengutamakan alam semula jadi serta menyumbang kepada pemeliharaan 95 peratus tanah.

    The Line dijangka mampu menempatkan 9 juta penduduk dan akan dibina di atas tapak seluas 34 km persegi.

    Pada masa ini, pasukan dari lebih 10 buah negara telah mengambil bahagian untuk membina projek itu, kata putera mahkota Saudi kepada Xinhua.

    Beliau mengalu-alukan perusahaan dan syarikat antarabangsa yang cemerlang untuk mengambil bahagian dalam pembinaan agar reka bentuk The Line menjadi satu realiti. – Bernama

    Pelan reka bentuk untuk struktur setinggi 500 meter dari paras laut, 200 meter lebar, panjang 170 kilometer di tengah-tengah bandar mega Laut Merah, NEOM. Sebuah bandar mega futuristik yang boleh menempatkan sembilan juta orang. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...