Sunday, May 19, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Perkhidmatan awam perlu responsif

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Usaha ke arah mengangkat martabat perkhidmatan awam di Negara Brunei Darussalam sebagai pemangkin kecemerlangan, bergantung sepenuhnya kepada kecekapan dan kebolehan warga kerjanya, dalam menghasilkan nilai-nilai kerja bermutu tinggi, yang dapat menjana perubahan bermakna dan berimpak besar.

    Dari itu, seorang penjawat awam hendaklah juga sentiasa ingat bahawa pelanggan dan masyarakat amnya akan terus mengharapkan kualiti penyampaian perkhidmatan, yang memenuhi kehendak mereka.

    Di samping itu, mereka juga ingin melihat pengurangan kerenah birokrasi serta langkah yang cepat, tepat dan berintegriti, dalam menangani permasalahan yang ditimbulkan mereka.

    “Perkara ini adalah berkait rapat, dan merupakan dukungan kepada aspirasi transformasi perkhidmatan awam negara ini.

    “Ia dihasratkan ke arah pembangunan urus tadbir yang dinamik, inovatif dan berfokuskan masyarakat, dengan terus menerokai potensi teknologi digital, dalam memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan.”

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapannya pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Transformasi perkhidmatan awam itu tidak dapat dielakkan dan pastinya berlaku, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan kepesatan teknologi masa kini, yang berpaksikan pengetahuan.

    “Justeru, ia memerlukan perkhidmatan awam itu untuk bersifat lebih responsif dan adaptif sesuai dengan keperluan dan trend semasa,” ulas Yang Berhormat Pehin lagi dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-30, Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-33 dan ke-34 serta Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort-7 dan Kohort-8, Tahun 2023, yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, kelmarin.

    Beliau menyatakan, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa komited berusaha ke arah meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan, bagi pencapaian keberhasilan tahap terbaik dan cemerlang.

    Usaha-usaha yang telah diungkayahkan merangkumi penambahbaikan sistem dan prosedur kerja, penelitian ke atas dasar serta undang-undang dan peraturan, memperkesankan pencapaian Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR), termasuklah pembangunan dan pengupayaan pendekatan teknologi dalam organisasi.

    Tambah beliau, “Sudah setentunya, kejayaan usaha-usaha ini dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian yang diinginkan, memerlukan modal insan yang memiliki potensi, minat dan komitmen untuk mencapai tahap prestasi yang tinggi serta memberi tumpuan kepada pencapaian bermutu tinggi dalam bidang tugas yang diamanahkan.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...