Sunday, May 19, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Vietnam catat suhu pecah rekod di lebih 100 lokasi

    HANOI, 5 MEI – Lebih 100 rekod suhu baharu dicatatkan di seluruh Vietnam pada April lalu, menurut data rasmi, ketika gelombang panas melampau melanda Asia Selatan dan Asia Tenggara.

    Panas melampau melanda Asia dari India ke Filipina sejak beberapa minggu kebelakangan ini, hingga mencetuskan kematian akibat strok haba, penutupan sekolah dan masyarakat berdoa memohon hujan.

    Saintis sudah sekian lama memberi amaran bahawa perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia akan menghasilkan gelombang haba yang semakin kerap, berpanjangan dan lebih panas.

    Vietnam menyaksikan tiga gelombang suhu tinggi pada April, menurut data yang diterbitkan semalam oleh Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan, dengan suhu memuncak pada 44 darjah Celsius di dua bandar awal minggu ini.

    Suhu itu hanya sedikit di bawah suhu tertinggi pernah direkodkan di Vietnam iaitu 44.2 darjah Celsius pada 7 Mei tahun lalu. Secara keseluruhannya, 102 stesen cuaca mencatat rekod tertinggi pada April, ketika utara dan tengah Vietnam berdepan beban gelombang haba, dengan suhu purata dua hingga empat darjah Celsius lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Sementara itu, tujuh stesen merekodkan suhu melebihi 43 darjah Celsius, semuanya pada Selasa.

    Kesan cuaca melampau itu dapat disaksikan apabila ratusan ribu ikan mati dalam sebuah kolam tadahan air di wilayah selatan Dong Nai, Vietnam.

    Imej-imej menunjukkan penduduk tempatan mengharungi dan menaiki bot melalui kolam tadahan air Song May seluas 300 hektar, dengan air hampir tidak kelihatan akibat dipenuhi bangkai ikan.

    Agensi cuaca Vietnam meramalkan cuaca akan lebih panas pada Mei dengan suhu dijangka 1.5 hingga 2.5 darjah lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. – AFP

    Gambar menunjukkan unit penyaman udara di luar sebuah bangunan di Hanoi pada 30 April lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...