Wednesday, November 6, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hati lembut jadi pemaaf

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Memaafkan itu bukan bererti satu tanda kelemahan atau kekalahan malah Allah SWT akan menambahkan kemuliaan kepada orang yang memberi maaf.

    Rasulullah SAW dalam hadis Baginda menjelaskan, sifat pemaaf itu antara iman yang paling utama.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Mengasihi Diri dengan Sifat Pemaaf’ menjelaskan, sifat pemaaf adalah sifat mulia yang sangat dituntut dalam agama Islam.

    “Sifat pemaaf juga sikap utama yang ada pada diri Baginda, Rasulullah SAW dan sebagai umat Islam hendaklah sentiasa mencontohi sifat-sifat dan akhlak yang ada pada diri Baginda,” jelasnya.

    Khatib turut menjelaskan maksud memaafkan ialah mengambil sikap berlapang dada dan meninggalkan perkara yang membawa kepada permusuhan dan pertelingkahan antara satu dengan lain.

    Katanya lagi, “antara kesan daripada memaafkan dan berlapang dada itu, mengelakkan sikap untuk tidak membalas perbuatan jahat dengan yang jahat”.

    Selain, mengelakkan permusuhan dan mengukuhkan lagi hubungan baik di antara anggota masyarakat, mencerminkan sikap rahmah dan membawa ketenangan kepada diri dan membuang sifat hasad dengki dan sifat dendam yang membinasakan hati.

    Sesungguhnya menghiasi diri dengan sifat pemaaf amat penting dalam membina dan membangun kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.

    Khatib seterusnya mengingatkan, memang tidak dapat dinafikan dalam kehidupan sehari-hari, kita tidak terlepas daripada menerima ujian dan dugaan yang terkadang menyebabkan menimbulkan rasa marah, tidak puas hati dan sifat dendam dalam diri disebabkan oleh perbuatan orang lain yang tidak menyenangkan hati seperti dimalukan, difitnah, dihina, dizalimi dan seumpamanya.

    “Perlu diingat, agama Islam memerintahkan umatnya supaya sentiasa bersifat sabar dan dianjurkan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan tapi sebaliknya perbuatan jahat itu hendaklah dibalas dengan cara yang lebih baik iaitu dengan kebaikan dan kemaafan,” tambahnya.

    Menurut khatib, keistimewaan orang yang bersifat pemaaf itu ada dijelaskan dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW antaranya amalan yang tidak mengurangkan sedikit pun daripada harta atau kedudukan.

    Katanya lagi, “Allah memaafkan dosa orang memaafkan dan sifat memaafkan dapat melembutkan hati seseorang dan mendapat ganjaran pahala dari Allah”.

    Sesungguhnya dosa sesama manusia itu tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali setelah memohon keampunan daripada orang yang pernah disakiti atau dizalimi.

    “Mohonlah kemaafan sebelum terlambat, janganlah malu atau sombong untuk memohon maaf dan mengaku segala kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan,” tambahnya.

    Sebagai umat Islam, hendaklah sentiasa mencontohi sifat-sifat dan akhlak Rasulullah serta jadikanlah sifat pemaaf dan berlapang dada sebagai amalan sekali gus menerapkannya dalam kehidupan seharian, dengan demikian, kita akan hidup dalam keadaan harmoni, bersatu padu dan berkasih sayang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda