Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Ibra jalani pembedahan ACL

    PARIS, 27 MEI – Pemain veteran Sweden, Zlatan Ibrahimovic kelmarin berkata bahawa dia mengalami susah tidur malam sepanjang enam bulan akibat sakit lutut kerana dia bertekad untuk menunaikan janjinya kepada AC Milan untuk memberikan gelaran Serie A pertama mereka dalam tempoh 11 tahun.

    Penyerang berusia 40 tahun itu menjalani pembedahan lutut kiri bagi membina semula ligamen ACL di Lyon pada Rabu lalu dan dia mungkin terpaksa direhatkan dari bermain sekurang-kurangnya selama tujuh hingga lapan bulan.

    “Selama enam bulan terakhir sebelum ini, saya bermain tanpa ACL di lutut kiri saya,” tulisnya di dalam laman Instagram.

    “Lutut saya bengkak selama enam bulan. Mengambil lebih daripada 20 suntikan dalam tempoh enam bulan.

    “Hampir tidak tidur selama enam bulan kerana kesakitan. Saya tidak pernah menderita seteruk ini di dalam dan di luar padang.”

    Bekas pemain Barcelona, ​​Paris Saint-Germain dan Manchester United itu menjalani pembedahan pada lutut yang sama pada Jun 2021, yang menyebabkan dia tidak menyertai perlawanan akhir Euro 2020 yang ditangguhkan, dan masalah tendon Achilles telah membataskan penampilannya bersama Milan musim lalu.

    Namun begitu Ibrahimovic tetap gembira dengan sumbangannya kepada kejayaan Milan.

    “Saya membuat sesuatu yang mustahil…menjadi tidak mustahil,” katanya.

    “Dalam fikiran saya, saya hanya mempunyai satu objektif, untuk menjadikan rakan sepasukan dan jurulatih saya (Stefano Pioli) juara Itali kerana saya telah berjanji kepada mereka,” tambahnya lagi. – AFP

    Ibrahimovich berkata dia susah tidur malam sepanjang enam bulan kerana kecederaan pada bahagian lutut kirinya. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...